PETALING JAYA: Hampir seminggu mengunci mulut, penyanyi, Kaka Azraff bakal membuat satu sidang media berhubung dakwaan ditamatkan kontrak oleh syarikat rakaman lantaran kelantangan menyokong Palestin.
Kaka menjelaskan , dia sama sekali tidak mengelak atau sengaja berdiam diri berhubung spekulasi tersebut sebaliknya mendapatkan nasihat serta pandangan dari sudut undang-undang sebelum membuat kenyataan.
“Saya akan adakan sidang media esok. Saya tidak mahu terburu-buru dan hadir tangan kosong. Saya perlu dapatkan nasihat daripada peguam terlebih dahulu. Tidak boleh sebarangan.
“Memang ramai rakan media menghubungi saya tetapi saya menunggu masa sesuai untuk kita bersemuka dan memberitahu apa yang berlaku dengan butiran lengkap secara terbuka,” ujarnya.
Penyanyi Gila itu sebelum ini dikatakan berdepan tindakan syarikat rakaman, Warner Music yang menamatkan kontrak nyanyiannya gara-gara kelantangan bersuara menentang kekejaman regim Zionis.
Perkara tersebut mula tercetus selepas tular salinan surat rasmi yang memaklumkan syarikat rakaman tersebut telah menamatkan kontrak penyanyi itu.
Diaju soalan tentang pengesahan khabar angin tersebut, Kaka sekali lagi meminta ruang dan bakal menjelaskan semuanya esok.-UTUSAN