PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis kompaun terhadap majikan selepas disyaki menggajikan warga asing tanpa permit bekerja sah di premis perniagaannya di Jalan Mega Mendung, Kuala Lumpur.
Berdasarkan perkongsian DBKL di laman sosial Facebook miliknya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengeluarkan dua notis kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Penempatan Makanan (WPKL) 2016 (1)(b) terhadap premis tersebut.
“DBKL telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah premis di Jalan Mega Mendung.
“Dua notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penempatan Makanan (WPKL) 2016 (1)(b) telah dikeluarkan terhadap premis tersebut kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit bekerja yang sah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Berdasarkan gambar notis kompaun yang dikeluarkan, jumlah denda yang dikenakan adalah RM2,000 setiap satu dan jika ia gagal dibayar dalam masa ditetapkan tindakan mahkamah boleh diambil.
Dalam hantaran sama, agensi tersebut berkata, isu pemilik perniagaan warga tempatan menggajikan warga asing telah lama diperkatakan.
Bagaimanapun, lebih buruk lagi warga asing yang digajikan tidak mempunyai permit bekerja.
“Walau apa pun alasannya, peraturan perlulah dipatuhi. Jika melibatkan pekerja warga asing perlulah dengan permit yang sah.
“Paling penting jangan pula nak untung atas angin dengan ‘mengalibabakan’ lesen kepada warga asing,” katanya. – UTUSAN