Piala Malaysia: Ketajaman penyudah tentu nasib Terengganu, JDT

Piala Malaysia: Ketajaman penyudah tentu nasib Terengganu, JDT

IVAN Mamut menyempurnakan sepakan penalti untuk Terengganu FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketajaman penyudah jentera serangan Terengganu FC (TFC) atau Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi penentu siapa akan keluar padang sebagai pemenang pada perlawanan akhir Piala Malaysia Jumaat ini.

Sekiranya rekod aksi Liga Super dijadikan rujukan, tentu sekali JDT menjadi pilihan untuk menjulang trofi itu buat kali kedua berturut-turut namun prestasi Terengganu dalam kempen Piala Malaysia musim ini juga cukup baik.

Dua perlawanan liga menyaksikan JDT melakar kemenangan dalam kedua-dua pertemuan iaitu menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim dan 1-3 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jurulatih berpengalaman dalam Liga Malaysia, Irfan Bakti Abu Salim berkata, harapan skuad Sang Penyu terletak di bahu penjaring terbanyaknya, Ivan Mamut, untuk memastikan kejutan mampu dicipta ke atas JDT.

Menurut beliau, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner perlu merencanakan strategi terbaik walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Irfan Bakti berkata, keberkesanan jentera serangan bakal menjadi faktor terpenting menentukan pasukan yang akan bergelar juara dengan JDT pasti akan mempertaruhkan Bergson Da Silva.

“Jika jurulatih (Steinbruckner) dapat membuat percaturan terbaik dan mengkaji secara mendalam corak permainan JDT, kejutan boleh berlaku dalam 90 minit permainan.

“Di atas kertas memang nampak sukar namun dalam aksi final di gelanggang berkecuali dan sokongan padu penyokong, TFC boleh melakukan ‘upset’ ke atas JDT, Jumaat nanti.

“Kehadiran Nurillo (Tukhtasinov) dilihat menambah bisa bahagian tengah bersama Habib Haroon dan mereka juga perlu bekerja keras membantu Mamut di posisi serangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

PENYERANG JDT Bergson Da Silva menjadi sandaran untuk merobek gawang Terengganu.

Irfan Bakti yang juga bekas pengendali Selangor dan Kuching City menjelaskan, JDT memiliki kelebihan di semua posisi terutama serangan namun TFC mempunyai benteng pertahanan yang lebih baik.

Kelibat bek kanan, Azam Azmi Murad yang sudah kembali dari kecederaan selain Shahrul Nizam Roshasni disifatkan beliau sebagai pertahanan tempatan terbaik sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, meskipun mungkin dibarisi pemain tempatan di posisi itu, barisan benteng TFC menunjukkan kematangan sekaligus berupaya menyerap tekanan daripada trio serangan JDT iaitu Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi.

“Trio JDT iaitu Bergson, Forestieri dan Arif Aiman sudah tentu akan mengucar-kacirkan TFC namun saya optimis jika benteng pertahanan fokus, mereka boleh melakar kejutan.

“Apa yang penting TFC harus mengelak daripada permainan di dominasi JDT dan bijak mengawal emosi daripada helah atau provokasi pihak lawan yang lebih berpengalaman,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya