IPOH: Belanjawan Perak 2024 menyaksikan bantuan yang dikhususkan kepada golongan marhaen terus dipertingkat manakala peruntukan bagi pembangunan infra termasuk di kawasan luar bandar ditambah baik.
Antara menjadi tumpuan adalah kadar bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaikkan sebanyak RM100 kepada RM400 sebulan yang memanfaatkan 6,600 penerima mulai Januari 2024.
Kerajaan negeri juga bersetuju syarat kelayakan bagi permohonan Bantuan Kewangan yang dikendalikan JKM mengguna pakai kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM1,198 sebulan berbanding RM1,168 pada masa ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Program Rumah Perakku Prihatin juga ditingkatkan kepada RM6 juta berbanding RM5 juta sebelum ini menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah khusus kepada golongan B40 yang menetap dan bermastautin di Perak pada kadar siling RM100,000 bagi seunit rumah.
“Komitmen kerajaan negeri dalam memastikan penggunaan pengangkutan awam secara optimum direncanakan melalui inisiatif Bas Perak Sejahtera dengan penyediaan kemudahan bas henti-henti di sepanjang laluan sosial yang telah dikenal pasti.
“Ini mengambil kira keperluan dalam kalangan warga emas, golongan B40, pelajar sekolah dan Orang Asli.
“Menyedari keperluan ini, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera terus disediakan bagi Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar serta Batang Padang dengan peruntukan RM2 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2024 hari ini.
Sejajar dengan keperluan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan prasarana rakyat, Saarani berkata, RM100 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan pembangunan iaitu peningkatan RM10 juta berbanding 2023.
“Daripada jumlah tersebut, RM37 juta diperuntukkan untuk projek jalan dan jambatan manakala RM63 juta untuk projek bangunan,” katanya.
Tambahan daripada itu, kerajaan negeri dijangka menerima peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) RM600 juta untuk menyelenggara jalan-jalan yang berdaftar.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperkenal inisiatif baharu iaitu program Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan dana sebanyak RM1 juta.
Katanya, ia bagi membolehkan pelaksanaan beberapa program termasuk membabitkan bantuan pengurusan untuk tujuan start up; bantuan pemulihan bagi koperasi berstatus tidak aktif yang memenuhi syarat serta program pengupayaan, latihan dan pengembangan kemahiran khusus berkaitan keusahawanan.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan program Kedai Bergerak yang sejak sekian lama menjadi program sangat dekat dengan rakyat marhaen membabitkan peruntukan sebanyak RM0.82 juta.
“Program ini diteruskan bagi membolehkan lapisan masyarakat terutama di luar bandar dapat membeli barang makanan dan keperluan dengan harga yang murah dan berpatutan,” katanya.
Saarani berkata, elaun ketua kampung yang ditanggung kerajaan negeri juga dinaikkan RM100 daripada RM200 seorang kepada RM300 seorang pada setiap bulan melibatkan implikasi kewangan bernilai RM1.9 juta. – UTUSAN