PETALING JAYA: Kereta perlu disorok, dihalau keluar daripada rumah sewa dan terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga untuk bertahan hidup, itu situasi yang perlu dihadapi oleh pemain tempatan Kelantan United selepas tidak dibayar gaji sejak Ogos lalu.
Apa yang membangkitkan kemarahan pemain tempatan Kelantan United ialah, pihak pengurusan lebih mengutamakan pemain import apabila melunaskan tunggakan gaji mereka kerana bimbang kes sampai kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut sumber, para pemain tidak membuat laporan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan mengambil sikap berdiam diri kerana mahu menjaga nama baik kelab dan tidak mahu ia menganggu proses permohonan Lesen Kebangsaan.
Bagaimanapun katanya, kelmarin, para pemain tempatan mendapat tahu bahawa pihak pengurusan ada membayar gaji pemain import, ada yang dua bulan dan tiga bulan, ia sekali gus membangkitkan kemarahan kerana kelab tidak berlaku adil kepada semua pemain.
“Kita belum lapor PFAM sebab mahu jaga nama kelab. Kami dapat info kelab bayar gaji import, tetapi gaji pemain tempatan tiada. Semalam, selesai gaji dua hingga tiga bulan import sebab mereka (import) mahu laporkan kepada FIFA.
“Itu yang menyebabkan kami ralat, kalau sebulan dua biasa, tetapi gaji kami tertunggak hampir setengah tahun. Proses pelesenan pun mereka sudah lepas sebab kita jaga kelab tak mahu hebohkan kerana tahu kelab tengah bergelut, tetap diam biarpun lima bulan.
“Tetapi bila mereka buat begini (bayar gaji import sahaja), ini sudah tidak betul. Kami pemain tempatan pun ada komitmen sendiri dan buat masa ini tiada apa-apa yang dijanjikan kelab, mereka hanya berdiam diri sahaja.
“Saya bercakap untuk pemain lain juga, ada yang kereta kena tarik, kena sorok kereta, kena halau keluar rumah dan terpaksa pinjam duit. Saya rasa, ini sudah melampau kalau macam ini, kami dibiarkan terkapai-kapai,” katanya.
Dalam pada itu, sumber Kelantan United ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan berlaku tunggakan dalam pembayaran gaji skuad Sang Kijang Hijau musim ini.
Katanya, pihak pengurusan mengambil serius perkara tersebut dan sama sekali tidak akan mengambil sikap lepas tangan.
“Tunggakan memang berlaku untuk beberapa bulan, ketika ini pengurusan sedang berusaha menyelesaikan semua masalah tersebut bagi memastikan kebajikan pemain tidak terabai,” ujarnya.