Datuk ketua sindiket dadah antara 10 ditahan - Utusan Malaysia

Datuk ketua sindiket dadah antara 10 ditahan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki bergelar Datuk yang menaungi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara 10 ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.

Kesemua ditahan pada pukul 2.30 pagi dalam operasi khas yang turut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Eastern Command (KEC) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Mereka yang ditahan berusia 30 hingga 48 tahun dan membabitkan ketua sindiket, pembantu dan ahli kanan sindiket; penjawat awam; buruh berperanan sebagai keldai dadah; penyelia tapak dan pengarah urusan rangkaian restoran; dua pengedar dadah dan seorang tonto sindiket tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki bergelar Datuk itu adalah ketua sindiket berusia 40 tahun dan berperanan sebagai penaung sebuah NGO bagi melindungi aktiviti haram tersebut.

Menurut beliau, daripada semakan Datuk berkenaan pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket yang mengedar syabu itu bergerak aktif sejak 2015 yang mempunyai jaringan pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan.

“Sindiket ini dipercayai berselindung di sebalik pelbagai jenis perniagaan termasuk rangkaian restoran dan pelancongan bagi melindungi kegiatan haram mereka.

“Kita juga mengesan ahli sindiket ini memiliki pelbagai aset antaranya kenderaan mewah, banglo serta 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, minyak dan gas dan pembuatan.

“Mereka juga dipercayai memiliki sebuah feri dan rangkaian restoran,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Ayob Khan, modus operandi sindiket ialah mereka mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di Semenanjung.

Jelasnya, dadah seterusnya dibawa ke Sabah menggunakan keldai dadah melalui syarikat penerbangan komersial dan kiriman kargo laut.

DIAGIHKAN

“Bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar selain diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina.

“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA(.

“Ini juga merupakan tangkapan pertama melibatkan sindiket dadah di bawah SOSMA bagi membolehkan pembanterasan kegiatan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh.

“Kita juga menjalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyiasat penglibatan sindiket dalam aktiviti penyeludupan kontraban serta barangan bersubsidi dari Malaysia ke Indonesia dan Filipina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya