DALAM suasana hidup di bandar yang serba sibuk dan warganya sentiasa mengejar masa, ruang untuk menikmati menu tradisi tempatan kadang kala agak terbatas.
Ia kerana hidangan seperti roti canai, laksa atau nasi lemak memerlukan seseorang untuk duduk makan di meja.
Menu-menu berkenaan tidak bersifat on-the-go atau boleh dinikmati di mana-mana, sama ada ketika
berjalan untuk menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT), menunggu bas mahupun memandu kenderaan.
Namun, hasil kreativiti segelintir pihak membolehkan roti kegemaran rakyat Malaysia iaitu roti canai
dihidangkan dengan pendekatan sedemikian.
Pasti tiada siapa yang menyangka menu itu dapat diolah dalam bentuk gulungan seperti kebab tanpa
perlu dicicah kuah dal atau kari.

Ketua Pegawai Eksekutif Rollti, Keith Loh berkata, sentuhan moden itu mampu memberi nilai tambah kepada roti canai sekali gus memartabatkan lagi menu berkenaan di mata dunia.
Matlamat utamanya adalah untuk mencipta jenama tempatan yang boleh dikembangkan ke peringkat
antarabangsa.
“Daripada kanak-kanak hingga dewasa, semua sukakan roti canai. Malah, hidangan ini sesuai dimakan
pada bila-bila masa sama ada waktu pagi, tengah hari, petang dan malam.
“Inspirasi itu mendorong kami menghasilkan Rollti, yang merupakan kaedah baharu untuk menikmati roti canai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
RENDANG, SAMBAL, KARI
Sebagai tarikan, intiinti Rollti terdiri daripada rendang, sambal nasi lemak, sate dan kari dengan tiga pilihan sama ada ayam, daging, kambing, sardin dan telur yang berharga antara
RM10 hingga RM17.
Selain pedas, terdapat juga perisa manis iaitu pisang,nutella, kaya, gula Melaka dan keju di samping aneka minuman seperti bandung serta pandan.
Sementara itu, Keith berkata, outlet kedua akan dibuka sebelum Disember ini di samping sasaran 10 cawangan lain di sekitar Lembah Klang sepanjang 2024.
“Kami turut merancang untuk meluaskan pasaran ke utara dan selatan tanah air dengan sasaran keseluruhan sebanyak 100 outlet Rollti dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya











