PETALING JAYA: Biarpun musim 2023 belum melabuhkan tirainya, Selangor FC sudah mula merangka strategi bagi memastikan pasukan itu tampil selaku pencabar utama pada musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, tempoh tiga hingga empat bulan akan datang amat mustahak bagi pasukan untuk merangka strategi musim depan.
Beliau berkata, perancangan itu membabitkan perancangan perbelanjaan dan pendapatan selain pihak pengurusan juga sedang giat mengatur pertemuan dengan pihak penaja.
“Kita perlu pastikan perancangan kita dapat berjalan tanpa sebarang gangguan pada tahun depan. Bajet lebih kurang sama tetapi kita akan mengharungi musim lebih panjang pada musim depan.
“Selalunya, kita ada 12 bulan tetapi ada 16 bulan untuk musim baharu termasuk pra musim dan rehat musim. Perbelanjaan bulanan sama, tetapi ia akan meningkat kerana ada tambahan beberapa bulan.
“Perbelanjaan bukan meningkat sebab banyak duit tetapi kita cuma nak kekalkan pasukan yang sedia ada. Dengan tambahan tiga ke empat bulan itu, kita perlu pastikan ia dapat ditampung dengan baik.
“Ini semua merupakan antara usaha untuk memastikan Selangor FC mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan,” kata Johan.
Dalam perkembangan sama, Johan turut menganggap tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan pasukan menghantar skuad Piala Presiden dan Piala Belia pada tahun depan sebagai satu langkah yang baik.
“Ini satu hala tuju yang baik kerana kelab seharusnya memiliki perancangan daripada bawah umur sehinggalah ke skuad utama.
“Jadinya pasukan berusaha untuk ada pelapis muda yang akan mengambil tempat dalam skuad utama pada masa akan datang. Kami akan teruskan usaha ini di Selangor FC,” katanya.
Berbaki tiga lagi perlawanan Liga Super musim ini, Selangor FC berada di tangga kedua liga dengan 52 mata, dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 67 mata.