Perceraian bukan penamat kehidupan

Perceraian bukan penamat kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCERAIAN bukan penamat segalanya. Pengakhiran dalam perkahwinan itu juga tidak harus dijadikan sebab untuk membuka kepada permusuhan sesama sendiri.

Ini kerana kemarahan dan kebencian adalah emosi melumpuhkan yang tidak boleh menyelesaikan apa-apa.

Perceraian pasti memberi kesan kepada sesebuah institusi kekeluargaan, lebih-lebih lagi kepada anak-anak.

Namun begitu, ramai pasangan berjaya mengorbankan ego dan dendam demi anak-anak.

Ini diakui Adila, (bukan nama sebenar) yang tidak panjang jodoh dengan bekas suami kerana orang ketiga.

Walaupun sudah berpisah, dia tidak pernah membenci apalagi menyimpan dendam terhadap lelaki itu demi anak-anak.

Kata wanita berusia pertengahan 50an itu, di awal krisis bukan dia dan bekas suami, Malek (bukan nama sebenar) tidak berusaha menyelamatkan rumah tangga, namun gagal mencapai kesepakatan.

Akhirnya perkahwinan dibina selama 22 tahun itu terlerai pada pertengahan Jun 2013.

Menyambung cerita, kata Adila sesiapapun yang berkahwin termasuk dirinya, tidak pernah mencari apalagi meminta perceraian.

Bagaimanapun katanya, dia benar-benar tidak dapat menerima bekas suami selepas apa yang berlaku.

Bekas suami cuba memujuk dan cuba memperbetulkan keadaan, namun hatinya ketika itu sudah tawar.

Adila menjelaskan keputusan berpisah, jalan terbaik diambil.

Perasaannya lebih tenang. Adila berkata, apabila pasangan bercerai, ia pasti melibatkan ketegangan emosi.

Dia mengakui dirinya juga begitu pada awalnya, namun memilih untuk bersikap positif.

“Saya redha. Segala yang berlaku dengan takdir dan kehendak Allah. Siapalah saya untuk menidakkan jodoh saya sampai setakat itu sahaja.

“Kita hanya merancang, sedangkan perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja,” sambungnya.

Menceritakan detik awal pertemuan, Adila dan bekas suami bertemu pertama kali secara tidak sengaja di sebuah majlis.

Setelah enam bulan mengenal hati budi dan keluarga masingmasing, pasangan itu disatukan dalam majlis sederhana tetapi meriah.

Adila dan Malek dikurniakan empat anak, dua perempuan dan dua lelaki. Masing-masing berusia
lapan, 12, 15 dan 21 tahun ketika itu.

“Bohong jika emosi saya tidak terganggu sebaik mendapat tahu kecurangan suami. Pelbagai perasaan muncul. Kecewa, marah dan sebagainya. Tetapi saya memikirkan bagaimana nasib anak-anak sekiranya saya terus larut dalam kesedihan.

“Apabila memutuskan untuk berpisah, saya tolak tepi dahulu perasaan sendiri.

“Perkara utama yang saya fikirkan ketika itu adalah kesannya terhadap emosi anak-anak. “Bagaimana dan apa akan terjadi sekiranya kami benarbenar berpisah,” sambungnya lagi.

Cerita anak kelahiran Sungkai, Perak itu pada awalnya memang sukar untuk berhubung baik dengan bekas suami kerana terlalu memikirkan rasa benci dan marah.

Namun katanya, selepas bermuhasabah, dia merasakan semua itu harus diselesaikan dengan cara baik.

Kata Adila, semua itu untuk ketenangan diri dan kebaikan anak-anak mereka.

Selepas berbincang, mereka bersetuju untuk bersikap lebih matang dan mengetepikan ego masing-masing.

“Kami gagal dalam hubungan sebagai suami isteri, tetapi sebagai ibu bapa, kami berusaha melakukan yang terbaik untuk anak-anak,” sambungnya.

Adila dan bekas suami sepakat untuk membesarkan anak-anak.

Walaupun keempat-empat anak diletakkan di bawah penjagaannya, bekas suami tetap dibenarkan melawat mereka.

“Saya tahu anak-anak amat terkesan dengan perceraian kami. Terutama Hud dan Melisa masing-masing berusia lapan dan 12 tahun ketika itu.

“Keupayaan mereka dalam menghadapi kesan perceraian berbeza dengan Raihan dan Huda. Kedua-dua mereka lebih mudah menerima perkara itu,” kongsinya.

Awalnya, Hud dan Melisa sukar menyesuaikan diri kerana tidak memahami apa yang sedang berlaku antara mereka.

Perasaan kehilangan, marah, keliru dan takut untuk ditinggalkan terjadi kepada Hud dan Melisa. Mereka berasa sedih dan begitu sensitif daripada segi emosi.

“Saya dan bekas suami sedar dan kami berusaha menunjukkan ketenangan emosi dan kesabaran.

“Kami sepakat untuk kekal menjaga hubungan positif demi kesejahteraan psikologi anakanak yang sedang membesar ketika itu,” katanya.

Berkat kesungguhan Adila dan bekas suami, anak-anak akhirnya boleh menerima kenyataan bahawa kedua ibu bapa mereka sudah berpisah.

Kata Adila, sepanjang hubungan itu juga mereka sepakat tidak memburuk-burukkan antara satu sama lain kerana tidak mahu memberikan perspektif negatif terhadap anak-anak.

Adila juga bersyukur walaupun bekas suami telah berkahwin lain, lelaki itu tidak pernah culas dalam
menunaikan tanggungjawab memberi na ah kepada anakanak.

Walaupun peristiwa itu sudah lebih sedekad berlalu, mereka masih mengekalkan sikap profesional dan matang dalam menguruskan anak-anak.

“Kami mahu anak-anak membesar dalam suasana baik dan positif, bukan dengan penuh dendam dan kebencian,” ujarnya.

Lewat pertemuan itu, Adila turut berkongsi berita gembira mengenai perkembangan anakanak bersama bekas suami.

Huda dan Raihan bakal melangsungkan perkahwinan dengan pilihan masing-masing dan akan berkongsi majlis pada awal Disember depan.

Melisa pula menyambung pengajian di salah sebuah universiti tempatan utara tanahair, manakala Hud masih menuntut di sekolah berasrama penuh.

Sambungnya, perceraian bukanlah sesuatu mudah untuk diterima dan dilalui.

Namun ia bukanlah penamat kepada kebahagiaan yang dicari.

Perceraian merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh Islam, tetapi dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, ia dibuat selepas segala usaha bagi menyelamatkan rumah tangga menemui jalan buntu dan
perceraian diharapkan menjadi penamat daripada diteruskan.

Dalil tentang perceraian juga terdapat di dalam al-Quran bermaksud: Dan jika berketetapan hati hendak menceraikan, maka sungguh, Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. (al-Baqarah ayat 227).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya