Kelantan selesai 533 kes nikah bawah umur

Kelantan selesai 533 kes nikah bawah umur

MOHD. Asri Mat Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah menyelesaikan 533 daripada 546 permohonan permohonan perkahwinan bawah umur yang diterima sejak 2019 sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Asri Mat Daud berkata, pihaknya mengambil pendekatan perkahwinan bawah umur adalah wajar sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002.

Menurutnya, pada masa sama ia selaras dengan peruntukan undang-undang dan hukum syara’ dengan mengambil kira kemaslahatan pasangan bawah umur yang akan berkahwin.

“Umur minimum perkahwinan bagi lelaki ialah 18 tahun manakala perempuan 16 tahun tanpa pindaan. Bagaimanapun kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilaikan melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumah tangga.

“Antara aspek yang dinilaikan adalah seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya,” katanya bagi menjawab soalan dikemukakan Zameri Mat Nawang (Pas-Jelawat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit memberitahu, soal kemampuan turut diambil kira kerana ia berkait rapat dengan kekuatan sokongan dan persediaan awal oleh ibu bapa serta kematangan dalam membuat keputusan selain keupayaan melaksanakan peranan sebagai ibu bapa.

Berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) perkahwinan bawah umur, Mohd. Asri berkata, Mesyuarat Hakim-Hakim Syarie telah membuat keputusan untuk menimbang suatu tatacara SOP yang minimum oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan.

“SOP minimum itu bersifat lebih memudahkan khususnya di Kelantan dengan mengambil kira lokaliti negeri ini yang bersempadan dengan Thailand yang memudahkan nikah di negara itu dan mengelak berlakunya nikah tanpa kebenaran wali atau akad sendiri.

“Justeru sehingga hari ini, semua permohonan kebenaran berkahwin bawah umur hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Di Kelantan, perkara ini termaktub dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan Tahun 2002,” katanya.

Katanya, sebelum akad nikah dijalankan permohonan perlu diangkat kepada Mahkamah Syariah lebih dahulu yang mana hanya Hakim Syarie mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada permohonan tersebut diterima atau ditolak.

“Hakim Syarie akan membuat keputusan melalui sesi perbicaraan dalam kamar secara tertutup melibatkan keterangan pemohon bawah umur, ibu bapa pemohon, saksi dan imam setempat atau Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya