Kecerdasan buatan tidak mampu menandingi modal insan

Kecerdasan buatan tidak mampu menandingi modal insan

PENULIS Rizal Hashim bersama imam masjid di Shaoxing, Qasim Guo Maoshuo (kiri) ketika bertugas di Sukan Asia Hangzhou.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK upacara pembukaan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou pada 23 September lalu sehingga minggu, bandaraya Hangzhou masih rancak melayan tetamu seluruh Asia dengan penganjuran Sukan Para Asia 2022 menjadi penutup kejohanan di negara berkenaan.

Gambaran yang diberi seolah-olah semuanya berjalan lancar, namun dalam temasya pelbagai sukan, menguruskan kontinjen tidak semudah menyebut A, B, C.

Sebagai bandar digital yang melahirkan Jack Ma, Hangzhou menawarkan temasya sukan berteraskan teknologi dan kecerdasan buatan, dengan semuanya diatur di hujung jari.

Hari ini segala-galanya dilakukan dengan telefon bimbit, semua maklumat sama ada keputusan terkini, jadual pengangkutan atau pendaftaran masuk ke perkampungan sukan semuanya dimuat turun menggunakan pelbagai aplikasi.

Namun kesudahannya kemahiran insaniah menjadi pelengkap kepada pengalaman atlet dan pegawai secara keseluruhan.

Tiga dekad lalu, manusia bersemuka dalam berkomunikasi.

Masih terbayang wajah Nordin Mohd Yassin, dipisahkan dengan pagar di perkampungan sukan, menyerahkan salinan senarai ‘Malaysians in Action’ iaitu sekeping kertas yang ditunggu-tunggu wakil media, mengandungi jumlah atlet yang beraksi keesokannya.

Hari ini atase (pegawai) media kontinjen hanya perlu berkongsi maklumat menerusi pelbagai aplikasi di telefon bimbit tanpa perlu bersemuka.

Urus setia yang diketuai Ketua Kontinjen, Datuk Chong Kim Fatt dibantu dua timbalannya Datuk Iruan Zulkefli dan Prof Madya Dr Farrah Hani Imran, serta kakitangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), bekerja siang dan malam tanpa keluh kesah.

Mujur penulis sedar tugas yang menunggu, susulan kisah-kisah yang dikongsi oleh bekas atase media kontinjen, Fahmi Omar dan Tony Mariadass, kedua-duanya wartawan sukan berpengalaman.

Fahmi, misalnya, menjadi atase media kontinjen ke Sukan Asia Doha 2006 dan Guangzhou 2010, Sukan SEA di Korat 2007, Laos 2009 dan Myanmar 2013, serta Sukan Komanwel Glasgow 2014 manakala Tony pula atase media kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro 2016.

Selain tidak tidur malam dalam menguruskan ketibaan dan kepulangan anggota kontinjen serta menghadiri mesyuarat harian bermula tengah malam, urus setia mengorbankan keselesaan peribadi demi menjalankan tugas.

Ada juga yang mengorbankan ruang tamu pangsapuri untuk diisi dengan peralatan terapi mandian ais bagi membantu pemulihan atlet.

Hangzhou juga bekerja keras menjadi hos terbaik, dewan makan Perkampungan Atlet Sukan Asia, misalnya, ada bahagian khas untuk hidangan halal yang dipantau oleh Qasim Guo Maoshuo.

Qasim pelajar PhD Universiti Renmin, Beijing yang juga imam masjid di Shaoxing, kira-kira 60 kilometer dari Hangzhou.

Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa itu ditugaskan memantau ruang halal yang boleh memuatkan 600 orang pada satu-satu masa.

“Selain bahan mentah yang disimpan di ruang simpanan khas, kami menggunakan perkakas dan dapur khas dalam penyediaan hidangan halal.

“Sebagai tanda memisahkan seksyen halal dengan bukan halal, ruang makan dihiasi warna hijau, manakala petugas memakai pakaian berwarna hijau dan dulang makan juga berwarna sama,” kata Qasim.

Pengarah Operasi bagi keseluruhan dewan makan, Dr Zhao Jinlin.

Pengarah Operasi bagi keseluruhan dewan makan pula seorang profesor pengurusan pelancongan, Dr. Zhao Jinlin, pensyarah dari Universiti Antarabangsa Florida di Miami yang pernah bertugas di Sukan Olimpik Atlanta 1996, Athens 2004 dan Beijing 2008 selain Sukan Asia Guangzhou 2010.

“Secara keseluruhan, kami menyediakan 380,000 hidangan dengan jumlah 773 tan makanan sepanjang Sukan Asia,” kata Dr Zhao.

Sentuhan peribadi, disulami kehalusan budi bahasa, menjadi kekuatan sukarelawan kesemuanya pelajar universiti sekitar wilayah Zhejiang bagi membantu anggota urus setia dalam melaksanakan tanggungjawab.

Bagi peminat sukan negara, hanya nama pemenang pingat dan atlet berprofil tinggi meniti di bibir mereka.

Bagi sukarelawan seperti Daniel, Shirley, Olivia, Chen, Coco, Hannah, Christine dan Echo, nama yang tersemat di jiwa mereka tentu sekali CDM, Iruan, Farrah, Hashimi, Fong, Ganso, Nurul, Michael, Johnny dan Abang.

Kesimpulannya, kecerdasan buatan tidak mampu menandingi modal insan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya