Kastam tumpaskan sindiket seludup diesel ke Thailand

Kastam tumpaskan sindiket seludup diesel ke Thailand

TIMBALAN Pengarah Kastam negeri, Abd. Rahman Abd. Aziz menunjukkan tangki tambahan pada sebuah treler yang diubah suai bagi menyeludup diesel ke Thailand pada sidang akhbar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cubaan sindiket dipercayai didalangi warga Thailand menggunakan empat treler bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk menyeludup diesel berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), baru-baru ini.

Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, keempat-empat kenderaan berat itu ditahan antara pukul 8 hingga 8.30 malam, 7 November lalu dalam Op Gegar di depan pintu masuk kompleks bebas cukai, The Zone di Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, kesemua kenderaan itu dalam perjalanan ke negara jiran dengan tiga daripadanya tidak membawa kontena manakala sebuah lagi membawa kontena berisi kertas gulung.

“Pemeriksaan mendapati keempat-empat kenderaan itu telah diubah suai bagi membolehkan membawa tangki tambahan. Treler-treler itu dipercayai akan berulang-alik ke negara ini bagi mendapatkan diesel dari gudang yang berada di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, untuk diseludup ke Thailand.

“Kami percaya diesel-diesel itu tidak diperolehi dari satu lokasi sebaliknya dari beberapa kawasan. Secara keseluruhannya, sebanyak 3,730 liter minyak diesel ditemukan dalam kesemua treler tersebut yang bernilai lebih RM8,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Alor Setar di sini, hari ini.

Tambah Nor Izah, empat lelaki warganegara Thailand berusia 20-an hingga 50-an yang merupakan pemandu treler tersebut turut ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kesemua treler tersebut turut dirampas dengan nilai keseluruhan kenderaan melebihi RM1 juta,” katanya.

Beliau memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan atau tidak berkastam.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM50,000 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama.

“Jika sabit kesalahan kali kedua, mereka boleh didenda tidak kurang 20 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 40 kali nilai barang atau RM1 juta bergantung mana lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai untuk memberi kerjasama kepada JKDM berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan setiap identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN