KOTA BHARU: Keputusan mengenai pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan hanya akan diputuskan selepas proses publisiti dan penyertaan awam diselesaikan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses publisiti dan penyertaan awam sedang berlangsung dan hanya akan selesai sepenuhnya pada 11 November depan.
“Proses tersebut bermula sejak 11 Oktober lalu. Hanya selepas itu baru kita akan membuat keputusan sama ada akan meneruskannya atau sebaliknya.
“Dari situ juga, kita akan melihat keluasan serta kawasan mana yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kali Ke-23 di Grand Riverview di sini hari ini.
Istiadat Konvokesyen berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Mohd. Nassuruddin Daud.
Seramai 221 graduan menerima diploma masing-masing pada majlis tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, cadangan pengubahsuaian berkenaan dibuat untuk menyelaraskan perancangan pembangunaan Kelantan terutama berkaitan mineral.
Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan kawasan berkait dengan takungan air dan sebagainya tidak akan sentuh.
“Kita juga akan mengambil kira semua aspek dan sekiranya kawasan itu boleh dimanfaatkan kenapa tidak.
“Insya-Allah, kita akan memberi maklum balas berhubung surat yang dihantar oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam masa terdekat,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bercadang untuk menghentikan pembayaran Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kelantan jika cadangan pengubahan KSAS oleh pihak kerajaan negeri diteruskan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan yang diperkenal pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.
Katanya, setakat ini lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kelantan dari 2019 hingga tahun ini. – UTUSAN