SELAIN isu pembeli muda menjadi mangsa penipuan ejen hartanah, pembeli hartanah di negara ini dilaporkan turut berdepan risiko kediaman mereka dilelong.
Semua gara-gara tidak mampu menjelaskan bayaran hutang hartanah tersebut, antara lain disebabkan kenaikan kadar faedah berikutan peningkatan Kadar Dasar Semalam (OPR).
Penganalisis menjangkakan OPR kemungkinan dinaikkan jika tidak menjelang akhir tahun ini, pada tahun hadapan mengambil kira pemulihan ekonomi, selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan paras sedia ada.
Tahun 2022 menyaksikan empat kenaikan OPR berturut-turut sebagai usaha menormalisasi kadar inflasi negara. Paras terendah OPR adalah 1.75 peratus pada tahun lalu.
Pada 3 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengumumkan OPR dinaikkan sebanyak 25 mata kepada 3.00 peratus, kenaikan pertama bagi 2023 selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.
Pada September lalu, MPC Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, Rosland Mohd. Arif berkata, sejak OPR mula dinaikkan, lebih ramai orang datang untuk mengadu dan meminta bantuan kerana mereka tidak lagi mampu untuk membayar ansuran perumahan yang agak tinggi.
“Setelah gagal untuk membayar, akhirnya mereka menerima notis bahawa hartanah mereka akan dilelong.
“Isu ini yang saya sedang tangani setiap hari. Ia semakin teruk selepas pandemik Covid-19 di mana saya akan menerima kira-kira 20 hingga 30 panggilan atau kunjungan di pejabat kerana rakyat berdepan dengan masalah hartanah mereka yang akan dilelong.
“Kenaikan OPR melibatkan semua pihak dan ia bukan hanya akan meningkat sekali tetapi berkali-kali. Sekiranya OPR diaturkan untuk dikenakan pada penghujung baki pinjaman peminjam, tidak mengapa.
“Tetapi jika peningkatan itu terus dikenakan pada ansuran bulanan peminjam, mereka semua akan menjadi bankrap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, ada juga yang berjumpa kerana mahu menjual hartanah tetapi tiada siapa yang ingin membeli ketika ini kerana kenaikan OPR.
Rosland berkata, pihaknya sentiasa cuba untuk membantu rakyat yang berdepand dengan masalah ini dengan berbincang dengan pihak bank supaya mereka boleh mengurangkan jumah ansuran bulanan sekurang-kurang dua tahun untuk memberi masa kepada peminjam mencari kerja atau menghidupkan semula perniagaan mereka.
“Bagi menyelesaikan masalah ini, saya berpendapat kerajaan harus lebih agresif dalam mengarahkan semua bank di Malaysia harus bertoleransi dengan semua peminjam yang datang untuk memohon kerjasama pada waktu yang sukar ini.
“Apa yang pihak bank boleh lakukan adalah memanjangkan tempoh pinjaman, merendahkan bayaran bulanan dan sebagainya. Bank-bank tidak boleh terlalu tegas, kalau tidak rakyat Malaysia akan menderita.
“Jika semakin lama semakin ramai rakyat malaysia yang bankrap, mereka tidak akan dapat bekerja kerana tidak semua majikan mahu mengambil orang bankrap untuk bekerja.
“Itu seterusnya akan memberi impak kepada ekonomi negara yang akan mempunyai jumlah orang miskin yang tinggi.
“Selain itu, kerajaan dan BNM juga perlu lebih prihatin tentang OPR. Apakah kepentingan OPR dinaikkan selalu? Sedangkan ia hanya akan menyenangkan pihak bank dan yang akan menjadi lebih susah adalah rakyat.
“Bank dan kerajaan juga perlu lebih prihatin tentang OPR. Kenapa ia perlu sentiasa dinaikkan? Sedangkan yang akan menjadi lebih senang adalah pihak bank manakala yang menjadi lebih susah adalah rakyat,” katanya.
Sepanjang tahun lalu, pinjaman yang dipohon untuk pembelian hartanah kediaman memuncak pada Jun pada RM46.67 bilion sebelum menurun dari Ogos hingga Disember secara berterusan, berakhir pada RM30.99 bilion pada bulan terakhir 2022.
Ini menunjukkan kenaikan OPR mempunyai kesan selera gadai janji kerana kos pinjaman menjadi lebih mahal. – UTUSAN