Fourtwnty teringin berkolaborasi dengan Yuna, Amy Search, Zee Avi - Utusan Malaysia

Fourtwnty teringin berkolaborasi dengan Yuna, Amy Search, Zee Avi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Indonesia, Fourtwnty, menyatakan hasrat ingin berkolaborasi dengan tiga penyanyi dari Malaysia iaitu Yuna, Amy Search dan Zee Avi sekiranya diberi peluang.

Menurut vokalis, Ari Lesmana, walaupun kali ini kumpulan yang terkenal dengan genre ‘pop folk’ itu tampil membuat konsert jelajah di beberapa negeri di Malaysia, mereka berharap suatu masa nanti ada artis Malaysia yang sudi berkolaborasi dengan mereka sekali gus tampil di panggung yang sama.

“Sebenarnya ada banyak artis Malaysia yang ingin kami ajak kolaborasi. Cuma tidak tahu sama ada mereka mahu atau tidak bernyanyi bersama-sama kami.

“Antara nama yang kami fikirkan ialah Amy Search, Zee Avi dan semestinya Yuna. Tapi kita lihat macam mana. Jika ada rezeki dan waktu, mengapa tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual dalam talian.

Fourtwnty yang dianggotai Ari Lesmana, Asep Nurohman, Andika Dwi Putra Arman, Primanda Ridho dan Ryan Maulana itu bersyukur dan terharu dengan sambutan yang diterima peminat Malaysia setiap kali konsert. Tahun lalu sahaja, kumpulan itu tular di media sosial selama dua hari selepas konsert.

“Malaysia sudah kami anggap seperti rumah. Peminatnya memang sangat riuh dan santai diajak bernyanyi bersama-sama. Bayangkan, peminat Malaysia minta kami nyanyikan lagu Nyanyian Surau iaitu sebuah lagu yang hampir tidak pernah kami bawakan di mana-mana konsert.

“Untuk tular, kami tidak pernah meletakkan apa-apa jangkaan. Kami tidak mahu berharap yang besar untuk konsert kali ini. Cukuplah jika kami dapat bertemu peminat, bernyanyi dan tanda tangan album,” ujar Ari lagi.

Kali ini, mereka bakal hadir untuk mengadakan konsert siri jelajah bagi album Nalar yang mengandungi 10 buah lagu. Album ini mengangkat mesej mengenai penderitaan seseorang hingga persoalan mental.

Album Nalar dibuka dengan lagu ‘Aku Mencintai Traumaku’ yang mengajak pendengar untuk berdamai dengan trauma yang menghantui mereka.

“Kata kawan saya, setiap orang pasti mempunyai traumanya masing-masing. Ada yang boleh melaluinya dan tidak. Cara menyelesaikan trauma ialah mencintai trauma yang menghantui kita.

“Kita harus berusaha mencintai trauma agar boleh melewati hidup dan keadaan tenang masa hadapan,” jelasnya.

Konsert Fourtwnty “Nalar” Tour ini bakal singgah ke beberapa lokasi sepanjang Oktober ini bermula di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 13 Oktober ini.

Diikuti Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru, Johor pada 15 Oktober. Konsert bersambung pada 20 Oktober di Vervea Trade and Exhibition Centre (VTEC), Batu Kawan, Pulau Pinang. Seterusnya ditutup pada 22 Oktober di Zepp Kuala Lumpur.

Harga tiket dijual serendah RM150 di laman sesawang www.myticket.asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya