TANAH MERAH: Hasrat enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar masuk ke negara ini untuk mencari kerja tidak kesampaian selepas mereka dicekup oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan Malaysia-Thailand di sini malam tadi.
Kesemua PATI termasuk tiga wanita berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota yang melajankan penugasan di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia mengesan sekumpulan PATI menyeberangi Sungai Golok dengan menaiki perahu.
“Pemeriksaan mendapati keenam-enam PATI itu merupakan warganegara Myanmar yang masuk ke negara ini dengan bantuan tekong untuk mencari pekerjaan.
“Anggota bertugas turut merampas enam buah telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia dan mata wang Myanmar iaitu Kyat,” katanya.
Dua Divisyen memberitahu, selain itu seutas jam tangan dan barangan kemas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak lebih RM6,230.
Katanya, kesemua PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN