Belanjawan 2024: Pendidikan terus jadi agenda utama kerajaan

Belanjawan 2024: Pendidikan terus jadi agenda utama kerajaan

ANWAR Ibrahim, membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” di Dewan Rakyat, kelmarin. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peranan Kementerian Pendidikan untuk mendidik generasi masa depan negara terus dititikberatkan oleh kerajaan apabila kekal sebagai komponen utama menerima peruntukan tertinggi Belanjawan 2024 Malaysia Madani iaitu RM58.7 bilion daripada RM393.8 bilion keseluruhan belanjawan.

Jumlah RM58.7 bilion diterima Kementerian Pendidikan itu adalah tertinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 yang menyaksikan peningkatan berbanding sebelum ini daripada 2021 (RM50.4 bilion), 2022 (RM52.6 bilion) dan 2023 (RM55.2 bilion).

Perkembangan itu sekali gus menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pendidikan dalam membangun Malaysia Madani terus tercapai.

TERTINGGI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan masih kekal sebagai komponen utama menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 berbanding kementerian lain apabila ia bukan sahaja bertujuan daripada segi aspek penyelenggaraan sekolah, tetapi merangkumi pembentukan modal insan anak-anak murid.

Katanya, tahun depan menyaksikan sejumlah RM1.9 bilion ringgit disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara yang merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat kelmarin.

Selain itu, Anwar berkata, sebanyak 26 sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion dan antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Menyentuh penyelenggaraan tandas sekolah, Anwar berkata, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga seperti mana komited kerajaan sebelum ini menerusi Belanjawan 2023.

“Tidak boleh diterima akal selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas rosak dan uzur,” katanya.

BERKEPERLUAN

Berhubung usaha memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas, 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta, antaranya melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda, Pulau Pinang; SMK Kubang Rotan, Kedah dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

“RM30 juta juga disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, Kementerian Pendidikan sebelum ini merekodkan penurunan penyertaan murid menengah atas dalam aliran STEM kepada 40.94 peratus pada 2022 berbanding 45.2 peratus tahun 2017.

“Bagi memperkasa STEM, sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan untuk menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Wakil industri juga akan turut terlibat sebagai tenaga pengajar dan membekalkan peralatan dalam meningkatkan minat murid mempelajari STEM,” katanya.

Selain itu, kerajaan menyediakan RM100 juta bagi melaksanakan pendekatan holistik yang melibatkan semua pihak dalam membantu murid masih tercicir dan memerlukan bimbingan lanjut selepas Malaysia merekodkan penutupan sekolah tertinggi berbanding negara serantau ketika Covid-19.

JELAJAH

Tambahnya, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka turut mengambil kira cadangan dan kebimbangan ibu bapa, warga pendidik dan industri.

“Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas untuk melaksanakan program pembentukan karakter murid yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti,” katanya.

Dalam masa sama, bermula tahun hadapan, kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589 berbanding RM1,500 ringgit sebelum ini.

Katanya, perluasan syarat itu akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi anak-anak daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.

“Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan tiga berbanding sehingga tingkatan satu sebelum ini. Keseluruhannya, sejuta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM150 juta,” katanya.

KEPENTINGAN

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan pembentangan itu sangat menitikberatkan dan mengambil kira keperluan serta kepentingan rakyat.

Katanya, pihak kementerian menyambut baik inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

“Pembentangan Belanjawan 2024 sangat memastikan keperluan dan kepentingan rakyat diambil kira,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya