Kerajaan yakin pelaburan RM95b mampu jana lebih RM500b

Kerajaan sokong NIMP 2030, yakin pelaburan RM95b mampu jana lebih RM500b

ANWAR Ibrahim (lima, kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) menunjukkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) selepas merasmikan pelancaran di Dewan Perdana Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat, kanan). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komi­ted menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun pelaksa­naan pelan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini ter­­uta­manya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuti, modal dan pasaran kewangan swasta.

Katanya, untuk itu hampir 10 peratus (RM9.5 bilion) akan diperuntukan kerajaan dalam NIMP 2030 bagi merangsang pe­laburan dan pembabitan industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, NIMP 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatan mencecah RM587.5 bilion menjelang 2030.

Jelasnya, jumlah itu dijangka berkembang sehingga 6.5 peratus daripada yang diperoleh negara hari ini.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperoleh oleh intervensi NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi elektrikal dan elektronik (E&E), kimia, EV, aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan termaju, seperti mineral dan logam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd. Aziz serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar berkata, NIMP dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 3.3 juta tenaga kerja menjelang 2030 dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seiring dengan kemajuan negara.

“Paling penting adalah NIMP mengunjurkan gaji median di sektor pembuatan dijangka meningkat sebanyak 9.6 peratus iaitu mencecah RM4,510 berbanding RM1,976, di bawah purata nasional walaupun sektor tersebut memainkan peranan besar dalam KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara,” katanya.

Katanya, NIMP 2030 merumuskan empat misi untuk memacu transformasi industri negara pada skala besar menjelang 2030 iaitu:

● Misi pertama: memajukan ekonomi dengan industri akan digalakkan berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih, sekali gus meningkatkan daya saing negara di pasaran global.

● Misi kedua: membina sebuah negara berdaya maju dalam teknologi, bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.

● Misi ketiga: mencapai pelepasan sifar bersih. Misi ini menekankan komitmen untuk menangani perubahan iklim dengan berusaha untuk masa depan sifar bersih.

● Misi keempat: menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi. Ia bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri.

“Melalui amalan mapan dan inisiatif hijau, kerajaan menyasarkan mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam. Misi ini sejajar inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, misi tersebut akan disokong oleh empat pemboleh utama dalam mengatasi cabaran sistematik dan institusi.

“Pemboleh utama ini termasuk menangani cabaran pembiayaan, memupuk pembangunan dan pemerolehan bakat, menambah baik sistem pelabur, dan meningkatkan mekanisme tadbir urus.

“Untuk mendorong pelaksanaan segera NIMP, beberapa pendekatan berasaskan misi (MBP) telah dikenal pasti.

“Pendekatan ini dijangka mempercepat pembangunan ekosistem inklusif yang menyepadukan SME (Perusahaan Kecil Sederhana) ke dalam rantaian nilai dan mengumpulkan keseluruhan industri,” katanya.

Beliau berkata, NIMP akan melihat lebih banyak projek MBP dalam masa terdekat kerana kerajaan menjangkakan industri akan menerima pendekatan baharu ini dan menyedari manfaat yang dibawanya terhadap ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini