MARANG: Seorang jurujual wanita maut setelah motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan dua buah kereta di Kilometer (KM) 13 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang dekat pekan Bukit Payong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu, mangsa, Nur Ainun Mardhiah Mohd. Zainuddin, 21, dari Kampung Rawai, Bukit Payung meninggal dunia di lokasi kejadian setelah cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan melibatkan Yamaha Ego Solariz ditunggang mangsa dengan sebuah Perodua Kelisa serta Perodua Viva.
“Kemalangan berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Pekan Bukit Payung.
“Siasatan awal mendapati kejadian terjadi ketika Perodua Kelisa dipandu seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun menghala ke Kuala Terengganu dipercayai meneruskan perjalanan sewaktu lampu isyarat berwarna kuning.
” Secara tiba tiba mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Surau Haji Mat Zin menghala ke Kampung Alor Limbat telah terlanggar bahagian tepi sebelah kanan Proton Kelisa.
“Akibat dari pelanggaran itu, mangsa tercampak di hadapan Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat menghala ke arah Kuala Berang” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya lagi, pemandu Perodua Kelisa mengalami kecederaan di bahagian tangan sebelah kanan manakala pemandu Proton Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN