Dakwa difitnah, Ahli Parlimen DAP saman calon Pas

Dakwa difitnah, Ahli Parlimen DAP saman calon Pas

SYAHREDZAN JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Syahredzan Johan memulakan tindakan undang-undang menyaman seorang pemimpin Pas selepas gagal memenuhi surat tuntutan yang dihantar pada 12 Julai lalu.  

Beliau mengambil tindakan itu selepas calon pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal, Mohd. Shafie Ngah gagal membuat permohonan maaf dan pampasan kepada Syahredzan atas beberapa kenyataan yang didakwa fitnah terhadapnya semasa anjuran acara politik Perikatan Nasional (PN) sebelum ini. 

MOHD. SHAFIE NGAH

Menurutnya, writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut akan diserah kepada Mohd. Shafie selepas ini. 

Katanya, pada 27 Julai lalu, pihaknya telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Mohd. Shafie. 

“Melalui tindakan saman fitnah ini, saya telah antara lain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf dan perintah untuk menghalang Mohd. Shafie daripada terus mengeluarkan kenyataan yang memfitnah saya.

“Saya juga telah memohon suatu injunksi interim bagi menghalang beliau daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan lain yang berunsur fitnah terhadap saya sementara menunggu perbicaraan tindakan saman tersebut. 

“Saya sudah memberi amaran sebelum ini kepada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memfitnah saya bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk menegakkan hak saya.

“Dalam keghairahan kita berkempen dalam PRN ini, saya berharap semua pihak akan berpolitik dengan matang dan sejahtera dan menjaga hubungan sesama kita,” katanya dalam kenyataan.

Pada 12 Julai lalu, media melaporkan mengenai tuntutan Syahredzan supaya Mohd.  Shafie memohon maaf dalam tempoh 48 jam, selain membayar pampasan akibat kenyataan yang didakwa fitnah dibuat pemimpin itu. 

Mohd. Shafie didakwa membuat beberapa kenyataan terhadap Syahredzan dalam dua majlis anjuran PN yang diadakan pada Oktober 2022 dan pada Julai 2023 sehingga mendapat liputan media dan tular dalam media sosial. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya