Pelakon tidak boleh dilihat kurang bijak - Utusan Malaysia

Pelakon tidak boleh dilihat kurang bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESAR tanggungjawab digalas pelakon cantik, Daiyan Trisha, 29, untuk menghidupkan watak seorang doktor, Izara menerusi drama bersiri adaptasi korea, W: Two Worlds.

Bagi Daiyan atau nama penuhnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, tugas melakonkan watak berkerjaya kolar putih bukan kerja mudah kerana menuntut kebijaksanaan dan kefahaman tinggi terhadap profesion berkenaan.

“Kena faham, penonton terdiri daripada mereka yang berlatar kerjaya berlainan. Ada antara mereka merupakan doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

“Pelakon tidak boleh dilihat ‘kurang cerdik’ dengan melakonkan watak kolar putih secara suka hati mengikut tahap kefahaman sendiri. 

“Ia melibatkan kaji selidik dan persediaan rapi. Contoh, saya pastikan saya faham profesion seorang doktor untuk mengelakkan saya menyampaikan maklumat yang salah dan bertentangan dengan dunia kedoktoran sebenar. 

“Selagi boleh, saya dan pasukan produksi akan elak kesilapan-kesilapan tersebut,” katanya.

Daiyan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui sewaktu sesi penggambaran drama terbitan Viu itu di Lapangan Terbang Lama, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi, dekat sini baru-baru ini.

Apabila disoal tentang rujukannya bagi melakonkan watak berkenaan, Daiyan memaklumkan banyak bertanya dan belajar daripada Internet dan keluarga terdekat.

“Kakak dan salah seorang sahabat baik saya merupakan seorang doktor, jadi saya banyak bertanya dan merujuk kepada mereka tentang fakta atau informasi berkaitan kedoktoran yang dipaparkan dalam drama ini.

“Selain itu, Internet dan platform Youtube juga banyak membantu untuk saya membuat persediaan kerana padanya terkandung terlalu banyak maklumat sahih yang sesuai dijadikan rujukan,” jelasnya.

TAK KISAH DILABEL PELAKON OTT

Wajah anak kelahiran Selangor ini boleh dikatakan sinonim platform over the top (OTT) dan kebanyakan drama membabitkannya di platform tersebut, menjadi.

Contoh seperti Projek: Anchor SPM dan Projek: High Council yang turut ditayangkan di Astro On Demand dan Sooka.

Daiyan memaklumkan dia tidak kisah sekiranya dilabel sebagai pelakon OTT kerana dia akui namanya juga menyerlah di platform tersebut. 

Namun pada masa yang sama, pelakon yang juga hos dan penyanyi ini menegaskan dia juga tidak menolak tawaran dari stesen televisyen (TV).

“Saya bersyukur kerana ada rezeki di platform OTT. Bagi saya, platform tersebut, contohnya seperti Viu, bukan sahaja ada standard tersendiri malah menayangkan drama dengan jalan cerita yang berlainan dengan yang ditayangkan di stesen TV.

“Tetapi, saya tetap meraikan apa sahaja tawaran lakonan termasuklah yang datang dari stesen TV. Malah, saya banyak berlakon dengan stesen TV, tetapi mungkin drama-drama OTT lakonan saya lebih menyerlah.

“Bagi saya semua ini berbalik kepada soal rezeki. Saya merasakan diri cukup bertuah kerana drama OTT yang saya lakonkan, kebanyakannya menjadi,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya