SAYA pernah mendengar, seorang lelaki yang juga suami memberitahu, orang perempuan ini kalau dia biasanya kuat membebel, tetapi tiba-tiba dia senyap, itu tandanya dia tak sihat.
Jadi, biarlah dia membebel panjang-panjang mana pun, asalkan dia sihat. Tak sakit. Kalau sudah sakit, satu hal pula. Lagi bahaya.
Isteri, katanya, umpama jantung dalam keluarga. Kalau sakit atau tidak gembira, satu keluarga atau rumah turut menjadi suram.
Tetapi itulah, dalam banyak keadaan, orang lelaki tidak faham kenapa tiba-tiba wanita yang dia cintai sebelum melangkah ke fasa perkahwinan itu, yang dulu bukan seorang yang suka membebel dan pendiam tetapi apabila sudah berkahwin, makin lama makin kuat membebel pula.
Kalau masa mula-mula kenal dulu, orang perempuan tunjuk perangai suka berleter, becok dan kuat membebel, tentu ‘seram’ juga hendak dijadikan isteri. Bukankah begitu? Tetapi mengapa setelah berkahwin baru isteri suka berleter?
Suami perlu tahu atau mencari punca-punca isterinya kuat membebel. Jangan pukul rata semua wanita memang begitu. Mana mungkin isteri yang dulunya tak banyak cakap dan pendiam tiba-tiba kuat berleter.
Selalunya, yang menjadi penyebab utama, tak lain dan tak bukan, tentulah daripada suami. Tak akan jiran sebelah yang tiada kena mengena atau kawan-kawan di pejabat.
Sikap acuh tak acuh dengan bebelan isteri dan mengiyakan semua bebelan itu tetapi suami tidak juga berbuat sesuatu atau mengulangi perbuatan dan kesalahan yang sama tentu menjadikan isteri umpama ‘burung kakak tua’. Mengulangi cakap-cakap yang sama berkali-kali.
Bagi wanita yang membebel, sebenarnya keadaan ini amat meletihkan, bukan saja letih mulut tetapi letih memikirkan kenapa suami tidak juga mahu berubah, walaupun sudah ‘berbuih’ bercakap hal yang sama.
Jika suami berubah atau tidak mengulangi perkara-perkara yang tidak disukai isteri itu, tentu ia dapat menangani masalah membebel itu daripada berterusan.
Contohnya, kalau isteri tidak suka suami menyepahkan barangnya, jadilah seorang yang pengemas. Kalau isteri tak suka suami asyik membelek telefon bimbit, kurang-kurangkanlah melihat telefon ketika di rumah, begitu juga bab-bab suka menghabiskan masa di luar bersama kawan-kawan bila ada kelapangan.
Maka, bertindaklah dengan melakukan perubahan atau memperbaiki sikap. Bukan mencari jalan keluar dengan bersidai di restoran mamak hingga lewat malam.
Tak susah pun untuk menutup mulut isteri atau menenangkan mereka. Bukan perlu memberikan hadiah mahal-mahal atau wang sangat pun. Buang perangai yang tidak disukai isteri. Senyaplah dia. -UTUSAN