Doakan saya – Ali XPDC - Utusan Malaysia

Doakan saya – Ali XPDC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI, Ali XPDC, 54, tidak mahu menjadikan masalah kesihatan sebagai alasan untuk tidak bekerja.

Meskipun belum pulih sepenuhnya selepas diserang angin ahmar pada tahun lepas, dia masih perlu membuat persembahan untuk mencari pendapatan demi menyara keluarga.

“Saya masih boleh menyanyi. Keadaan saya ini tidak mengganggu tempo nyanyian. Prompter juga sangat membantu. Tak gunakan (prompter) pun tak apa sebenarnya.

“Cuma, saya sekarang cepat penat. Berjalan boleh, berlari tak dapat. Kalau naik tangga pun kena perlahan-lahan.

“Saya tak boleh ambil terlalu banyak tawaran membuat persembahan. Kena berpada-pada. Julai depan saya akan menyanyi dengan XPDC di Mega Star Arena KL. Harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Ali berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Rahmah industri muzik baru-baru ini.

Ali sekitar Mac tahun lalu dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan angin Ahmar.

Ditanya tentang keadaan kesihatannya yang terkini, anak kelahiran Selangor ini memaklumkan dia belum seratus peratus pulih dan masih menjalani rawatan secara berkala.

“Keadaan saya belum pulih sepenuhnya, kadang capai 80 hingga 90 peratus.

“Saya masih ke Pusat Rehabilitasi Cheras untuk menjalani fisioterapi percakapan sebanyak dua minggu sekali. Kaedah ini saya jalani sejak enam bulan lalu.

“Doakan saya agar cepat pulih,” katanya lagi.

Rakan hulur bantuan

Dalam perbualan kami, penulis juga terpanggil untuk bertanyakan tentang kos rawatan yang ditanggung penyanyi ini.

“Alhamdulillah, pihak zakat ada memberi sum­bangan. Malah ubat-ubatan juga dibekalkan pihak hospital.

“Cuma rawatan urutan itu kadang mencecah antara RM200 hingga RM400 untuk setiap sesi. Agak terbeban juga.

“Tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kerana ramai rakan prihatin yang tampil mem­bantu meringan­kan beban saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN