2 juta kenderaan guna PLUS esok dan Sabtu sempena Aidiladha 

Aidiladha: 2 juta kenderaan guna PLUS esok dan Sabtu 

PLUS membuat persediaan lain bagi membantu pengguna supaya dapat menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ketika hari puncak iaitu esok dan Sabtu ini iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa bersempena Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, selain mengaktifkan laluan SmartLane, pihaknya proaktif membuat persediaan lain untuk menguruskan lonjakan trafik melalui pelbagai pendekatan untuk membantu pengguna supaya dapat menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.

MOHD. YUSUF ABDUL AZIZ

Beliau memaklumkan, pihaknya akan mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi membantu menyuraikan trafik berikutan lonjakan trafik yang dijangka berlaku sepanjang perjalanan.

Lima lokasi itu membabitkan laluan di antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 – Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 – Arah Utara) serta laluan Gua Tempurung – Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 – Arah Utara).

Dua lagi lokasi iaitu laluan Slim River-Sungkai (KM367.3 hingga KM354.1 – Arah Utara) dan Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Rawang-Sungai Buaya (KM439.9 – KM435.5 – Arah Utara).

“Sewaktu SmartLane diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan trafik. Ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.

“Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Yusuf, pengaktifan lorong SmartLane bukanlah sesuatu yang baharu kerana pernah dilaksanakan pada musim-musim perayaan sebelum ini. 

“Di beberapa laluan seperti Setia Alam-Shah Alam di NKVE dan USJ-Seafield di ELITE, SmartLane dilaksanakan setiap hari bagi melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak di sebelah pagi pada hari bekerja biasa. 

“SmartLane juga sering diaktifkan di lokasi-lokasi penutupan lorong di mana kerja-kerja penyelenggaraan kecemasan dan pengurusan kemalangan diadakan di Lebuhraya PLUS,” tambah beliau yang memaklumkan pengaktifan laluan SmartLane mendapat sokongan dan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pada masa sama, Mohd. Yusuf memaklumkan PLUS turut proaktif membuat persediaan lain untuk menguruskan lonjakan trafik seperti menambah pasukan PLUSRonda untuk mengadakan lebih rondaan dan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan antara 24 Jun hingga 3 Julai, namun pengecualian kepada kerja penyelenggaraan dan kecemasan memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna.

Selain itu, katanya, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang boleh dirujuk di laman web PLUS atau semua saluran media sosial PLUS dan menyediakan makluman trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik lebuh raya, stesen-stesen radio, Twitter PLUSTrafik, media social dan Chatbot PUTRI.

“Bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol, pengguna lebuh raya juga harus memastikan agar mereka menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar memastikan kenderaan mereka selamat untuk perjalanan yang jauh dan mempunyai petrol yang mencukupi. Pandulah dengan selamat dan mematuhi had laju di lebuh raya, pastikan kenderaan telah diselenggara dan berada dalam keadaan baik, elakkan memandu ketika letih serta berhenti rehat di R&R sepanjang lebuh raya,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN