Shahidan itu Selangor sangatlah? - MB Selangor 

Shahidan itu Selangor sangatlah? – MB Selangor 

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempersoal ‘kehebatan’ yang dimiliki Ahli Parlimen Arau dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim sehingga nama beliau disebut-sebut akan bertanding di salah satu kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. 

Ini setelah beberapa nama pemimpin pembangkang termasuk Shahidan dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan menjadi pencabar terbesar kerajaan negeri dalam PRN akan datang. 

Bagaimanapun, bagi Amirudin, semakin ramai pemimpin pembangkang yang disebut-sebut bertanding namun masih tidak dimuktamad secara rasmi, menunjukkan PN tidak konsisten dalam meletakkan bakal calonnya dalam pilihan raya. 

“Dia nampak celarulah, contohnya, nama Shahidan dibangkit untuk masuk (bertanding). Shahidan itu ‘Selangor’ sangatlah (sampai mahu bertanding pilihan raya)? 

“Sebelum bercakap dia tidak berfikir. Mungkin otak dia letak di telinga jadi tidak sempat bercakap. Memang itu yang saya lihat, mereka tidak konsisten (soal calon). 

“Jadi, tidak mengapalah, kita tumpu kerja kerja kita sahaja. Saya tidak mahu respons secara rasmi kerana ia hanya serangan politik. Data, bukti dan fakta masih menunjukkan kita terbaik termasuk dari segi ekonomi dan program pembangunan sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya yang disandang oleh Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung.

AMIRUDIN SHARI

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Shahidan antara yang disebut-sebut antara calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri Selangor atas tiket PN. 

Shahidan dikatakan bakal bertanding di DUN Semenyih apabila beliau dikatakan aktif turun padang di kawasan majoriti Melayu itu.

Beliau yang membantu PN menyapu bersih 17 daripada 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis dilihat mampu menambah lagi kekuatan gabungan itu dalam misi menawan Selangor.

Shahidan pula tidak menolak kemungkinan bertanding di Selangor sekiranya kepemimpinan PN memberi kepercayaan kepada beliau, selain menjelaskan beliau memang ‘duduk’ di Selangor. 

Sebelum ini media melaporkan, PN yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Selangor yang akan diadakan tahun ini.

Azmin dilaporkan berkata, ia hasil penelitian pihaknya berdasarkan data yang diwarta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU15 sebelum ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keyakinan PN yang terus dilaung gabungan itu akan menawan kerajaan negeri Selangor dalam pilihan raya, Amirudin optimis bahawa kemenangan akan memihak mereka sekali pun pelbagai taktik diguna pembangkang untuk mempengaruh pengundi. 

“Semua akan menyatakan yakin bertanding dalam pilihan raya termasuk mereka yang berkemungkinan hilang deposit. Semua orang yakin sejak tiga penggal pilihan raya yang lalu dan pihak lawan kami juga sangat yakin. 

“Tapi kita juga bekerja dengan fakta dan data tapi kita kena terus konsisten. Konsistensi perkhidmatan di setiap lokaliti dan kawasan. Saya sudah turun padang di hampir semua kawasan DUN Selangor mendengar maklum balas dan taklimat. Maklum balas amat positif pada kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya