Rayyanah simbol perubahan wanita Asia Barat

Rayyanah simbol perubahan wanita Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAYYANAH Barnawi mungkin kelihatan seperti wanita biasa yang sukakan kecantikan atau perkara tipikal yang digemari golongan hawa.

Namun, siapa sangka, saintis bioperubatan itu sebenarnya menggalas tanggungjawab besar di bahunya apabila berjaya bergelar angkasawan wanita pertama Arab Saudi yang berlepas ke Stesen Angkasa Lepas (ISS), Ahad lalu.

Rayyanah merupakan satu daripada dua angkasawan Arab Saudi yang berlepas ke ISS menggunakan roket SpaceX Falcon 9.

Sepanjang 10 hari berada di ISS, wanita berusia 34 tahun itu mahu melakukan kajian mengenai sel stem dan kanser payudara.

Pencapaiannya itu boleh dijadikan inspirasi golongan wanita bukan sahaja di Asia Barat, tetapi juga di seluruh dunia.

Hal ini kerana, tidak ramai golongan hawa bergelar angkasawan berbanding lelaki.

Menerusi video yang dirakam di angkasa lepas sebelum beliau tiba di ISS, Rayyanah berkata, golongan wanita juga berhak untuk mempunyai impian besar, selain perlu yakin dengan peluang dan ruang yang ada.

Turut menyertai beliau di ISS adalah Ali Alqarni yang merupakan angkasawan lelaki kedua dari Arab Saudi berlepas ke angkasa lepas berserta dua lagi angksawan Amerika Syarikat, iaitu Peggy Whitson dan John Shoffner.

Sepanjang mereka berada di ISS, kesemua kru akan melakukan lebih 20 eksperimen sains dan teknologi, termasuk perkara berkaitan angkasa lepas dan kesihatan manusia serta teknologi pembenihan hujan.

EKSPERIMEN RAYYANAH
Bagi Rayyanah, eksperimen yang beliau jalankan berkaitan sejumlah kajian yang dilakukannya selama sembilan tahun berkhidmat sebagai saintis di Hospital Pakar Raja Faisal dan Pusat Kajian di Riyadh.

Menerusi sidang akhbar baru-baru ini, Rayyanah menceritakan, peluang bergelar angkasawan pertama Arab Saudi merupakan penghormatan tertinggi buatnya.
“Saya amat gembira kerana terpilih menjadi angksawan wanita mewakili negara saya.

“Sudah tentu saya akan galas tanggungjawab ini sepenuh hati demi negara dan bangsa,” katanya.

Selain itu, beliau juga bersedia berkongsi semua dapatan yang diperolehnya sepanjang berada di ISS.


JADI INSPIRASI
Dalam pada itu, jurutera dan penasihat Suruhanjaya Angkasa Lepas Arab Saudi, Mishaal Ashemimry berkata, matlamat utama mereka adalah mempelbagaikan faedah serta kebaikan untuk manusia menerusi sains.

“Kami berharap misi ini boleh menjadi inspirasi kepada golongan wanita daripada pelbagai latar belakang,” ujarnya.

Arab Saudi tidak lagi ‘mengekang’ pembangunan dan hak golongan wanita apabila kaum tersebut dibenarkan terlibat dalam pelbagai sektor dan aktiviti yang sebelum ini didominasi lelaki.

Semuanya bermula selepas golongan tersebut dibenarkan memandu sendiri pada 2018. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya