Johor catat pelaburan RM10.6 bilion suku pertama 2023 - Utusan Malaysia

Johor catat pelaburan RM10.6 bilion suku pertama 2023

Onn Hafiz Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan berjumlah RM10.6 bilion bagi suku pertama tahun ini, menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, pencapaian itu amat membanggakan dengan peningkatan tiga kali ganda berbanding suku pertama tahun lalu yang berjumlah RM3.2 bilion.

“Kerajaan negeri yakin Johor berada pada landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian 2022, iaitu menjadi negeri yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi negara, berjumlah RM70.6 bilion.

“Keyakinan para pelabur memilih Johor sebagai destinasi pilihan mereka akan membolehkan hasrat kita untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 akan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan statistik, Johor merupakan negeri kedua mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi bagi suku pertama tahun ini di belakang Kuala Lumpur yang merekodkan RM21.8 bilion.

Sementara itu, Selangor berada di tempat ketiga dengan jumlah pelaburan RM7.4 bilion diikuti Perak (RM7.1 bilion) dan Sabah (RM6.3 bilion).

Onn Hafiz berkata, Johor sentiasa terbuka untuk menerima lebih banyak pelaburan asing, sekali gus dapat mencipta peluang pekerjaan dan pertukaran teknologi.

“Saya berharap lebih banyak syarikat termasuk yang berteknologi tinggi dan ternama akan terus membuat pelaburan di negeri ini,” katanya.

Kemasukan pelaburan asing juga selari dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.