PETALING JAYA: Tiada sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian penggodaman laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat ini.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, bagaimanapun siasatan sedia dilakukan PDRM sekiranya mendapati terdapat aktiviti pengodaman membabitkan laman web jabatan itu.
“Tiada laporan diterima dan dibuat setakat ini,” katanya secara ringkas di sini hari ini.
Terdahulu, JIM menerusi satu poster yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter hari ini memaklumkan laman web rasminya ketika ini sedang diselenggara buat sementara waktu.
Poster berkenaan memaklumkan laman web Jabatan Imigresen Malaysia www.imi.gov.my sedang diselenggara buat sementara waktu.
“Sebarang pertanyaan sila hubungi Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my/,” katanya.
Namun menerusi carian terkini, dipercayai laman web jabatan berkenaan telah digodam apabila tertera perkataan ‘Hacked By CaptainSmok3r’.
Selain itu, cubaan untuk mengakses ke laman sesawang itu juga tidak berjaya berikutan mengambil masa yang terlalu lama.
Situasi yang berlaku itu menarik perhatian warganet apabila ada dalam kalangan pengguna berkongsi tangkap layar serta memaklumkan laman rasmi Institut Jantung Negara dipercayai turut digodam. – UTUSAN