Kaedah selamat simpan, panaskan juadah raya

Kaedah selamat simpan, panaskan juadah raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYANGNYA nak buang rendang ayam ni, baru dimasak semalam tetapi basi. Dahlah semua harga barang mahal!”

Tentu ramai yang mengalami situasi begini di hari raya kedua atau ketiga apabila hidangan yang penat dimasak seharian terpaksa dibuang begitu sahaja. Ada yang tak sampai ke malam sudah mula berbau. Nak masak yang baharu, kena keluar lagi kos.

Pelik juga bila memikirkan bagaimana juadah yang disimpan dalam peti sejuk beku pun boleh cepat rosak?


Dekan Fakulti Sains Pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Suzana Shahar berkata, rendang boleh disimpan atau tahan lama serta selamat dimakan jika dimasak agak kering.
“Ini kerana air atau kelembapan adalah sumber pertumbuhan bakteria. Semasa menghidang, pastikan ia dalam kuantiti untuk dimakan pada masa tersebut. Elakkan menghidang menggunakan bekas yang besar dan menyenduk dari bekas tersebut.

“Pastikan hidangan sentiasa ditutup. Simpan makanan dalam saiz kecil di dalam peti ais untuk tempoh tiga hari atau peti sejuk beku tiga bulan dalam saiz kecil. Ini bagi memudahkan pemanasan semula mengikut keperluan penggunaan. Gunakan bekas kedap udara dan bebas daripada kemasukan air,” katanya.

Katanya apabila ingin dimakan, panaskan dalam kuali dengan api perlahan dan pastikan pemanasan sekata. Jika disimpan dalam peti sejuk beku, nyahbekukan dalam ketuhar gelombang mikro atau suhu bilik sebelum dihangatkan.

Suzana juga menasihatkan orang ramai mengelak berulang kali memanaskan makanan terutama lebihan rendang. Ini kerana terdapat risiko yang boleh mengancam nyawa apabila makanan kerap dipanaskan semula.

Katanya, makanan yang dihangat semula bukan sahaja hilang khasiat, malah boleh meningkatkan risiko keracunan makanan.

“Secara umumnya, makanan hanya selamat jika disimpan dalam suhu bilik maksimum selama empat jam. Selepas dari tempoh itu, spora bakteria dalam makanan akan menjadi aktif dan menyebabkan keracunan makanan kepada individu yang makan makanan berkenaan.

“Selain itu, proses menghangatkan semula makanan akan memusnahkan beberapa vitamin dan sesetengah mineral penting untuk tubuh. Kekurangan nutrien bagi jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko malpemakanan (khasiat pemakanan),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Suzana lagi, individu yang sering mengalami keracunan makanan secara berulang kali, berisiko mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam tubuh. Justeru, katanya, lebihan makanan perlu di simpan di bahagian sejuk beku dan dipanaskan hanya sekali saja.

KaAEDAH MEMANASKAN MAKANAN
Kaedah memanaskan semula adalah sangat penting bagi mengelakkan keracunan makanan. Beberapa kaedah sesuai seperti mengukus, menggunakan ketuhar gelombang mikro, menggoreng atau membakar.

“Pemanasan semula perlu dilakukan dalam masa dua jam selepas makanan dikeluarkan dari peti sejuk beku. Semasa memanaskan makanan, pastikan ia dikacau dan dibiarkan ditutup selama dua minit.

“Pemanasan semula boleh membunuh bakteria tetapi terdapat bakteria yang menghasilkan toksin, tidak dapat dimusnahkan menggunakan suhu memasak. Terutamanya jika makanan dibiarkan di suhu bilik agak lama,” katanya.

Dr.Suzana berkata, sekiranya ingin menghidangkan makanan termasuk kepada tetamu, pastikan masakan menggunakan bahan mentah berkualiti.

“Tuan rumah perlu memastikan tempoh maksimum makanan yang dihidangkan di suhu bilik adalah selama empat jam. Anda boleh menggunakan termos, pemanas makanan, bekas menghidang insulasi haba bagi memastikan makanan tetap panas manakala makanan sejuk tetap sejuk.

“Makanan sejuk juga boleh dihidang dengan menggunakan bekas bersesuaian dan kekal pada suhu sejuk. Ini kerana bakteria akan tumbuh pantas pada suhu antara 5°C and 60°C,” katanya.
Kata Suzana, hidangan boleh disajikan dalam bentuk ‘pre mix’ iaitu mengasingkan kuah, sos atau bahan tabur atau sayuran dari hidangan. Lebih penting, pastikan semua hidangan sentiasa bertutup menggunakan penutup bekas, filem nipis atau tudung saji.

Katanya, selain tuan rumah, tetamu juga perlu menjaga kebersihan diri dengan membasuh tangan sama ada menggunakan air paip di sinki atau pembersih tangan. Gunakan peralatan makanan iaitu pinggan mangkuk, sudu, garfu dan gelas yang bersih.


TANDA MAKANAN YANG DIMASAK SEMULA
Pastikan makanan selamat dimakan menggunakan ketiga deria, melihat, menghidu dan menyentuh. Elakkan makan makanan yang sudah terbentuk lapisan lendir di luar makanan dan strukturnya melekit apabila disentuh.

“Perhatikan sama ada sudah terbentuk kulat berwarna putih atau kehijauan atau perubahan warna makanan daripada warna asal. Paling mudah adalah dengan menghidu makanan itu terlebih dulu. Jangan makan jika ia menghasilkan bau busuk atau tengik,” katanya.

Anda juga perlu berhat-hati apabila membeli atau menempah makanan di luar kerana segelintir peniaga menjual makanan yang dimasak sejak sehari lalu dan dipanaskan semula.

Sebagai contoh, ayam goreng yang dimasak semula, keadaannya agak kering atau keras terutamanya apabila digigit. Bagi mengelakkan membeli makanan yang dimasak semula pembeli boleh memilih masakan panas apabila membuat pesanan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN