China lapor manusia pertama mati akibat selsesa burung H3N8

China lapor manusia pertama mati akibat selsema burung H3N8

ORANG yang bekerja di pusat ternakan ayam itik dianggap lebih berisiko mendapat selesema burung H3N8. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang wanita berusia 56 tahun di selatan China dilaporkan meninggal dunia selepas disahkan positif selesema burung H3N8, menandakan kematian manusia pertama akibat selesema burung itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun H3N8 adalah salah satu jenis selesema yang paling kerap ditemukan pada burung, ia tidak dikesan pada manusia sebelum dua kes muncul pada April dan Mei tahun lepas, kedua-duanya di China.

Dalam satu kenyataan, WHO berkata, wanita China itu yang mempunyai masalah perubatan sedia ada termasuk kanser dan dimasukkan ke hospital dengan keadaan radang paru-paru teruk selepas jatuh sakit pada Februari lalu.

Dia dilaporkan meninggal dunia bulan lepas.

“Kes wanita itu dikesan melalui sistem pengawasan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI). Tiada kenalan rapat kes itu mengalami jangkitan atau simptom penyakit pada masa laporan,” kata WHO dalam kenyataannya.

Ketiga-tiga orang yang dijangkiti H3N8 di China setakat ini dikatakan terdedah kepada virus itu ketika berada di pasar yang menjual ayam.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kerajaan China kini meningkatkan pemantauan terhadap ketegangan dan risiko jangkitan yang kini masih rendah.

“Bagaimanapun, disebabkan sifat virus influenza yang sentiasa berubah, WHO terus menekankan kepentingan pengawasan global untuk mengesan perubahan virologi, epidemiologi dan klinikal yang berkaitan dengan virus influenza yang beredar yang mungkin menjejaskan kesihatan manusia (atau haiwan),” kata PBB.

Jangkitan H3N8 tidak berkaitan dengan pandemik selesema burung H5N1 yang memusnahkan ayam, itik dan burung liar di seluruh dunia dalam tempoh 18 bulan lalu.

H5N1 dikatakan merebak kepada mamalia termasuk musang, beruang dan kucing peliharaan.

Seorang profesor perubatan di Bahagian Penyakit Berjangkit Universiti Vanderbilt, William Schaffner berkata, untuk menjangkiti manusia, virus H5N1 perlu melekat pada reseptor di dalam paru-paru yang mana virus itu tidak mempunyai keupayaan untuk mengikatnya dengan mudah.

Tambah Schaffner, penyesuaian paksa untuk mereplikasi dalam paru-paru adalah punca mengapa hanya pekerja di pusat ternakan ayam yang menghirup habuk najis yang tercemar, lazimnya mudah dijangkiti.

Virus H3N8 bagaimanapun dilaporkan kurang berbahaya untuk burung liar dan ayam ternakan berbanding H5N1 dan diketahui beredar sejak 2002.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN