Bekas banduan tidak serik pecah premis, samun - Utusan Malaysia

Bekas banduan tidak serik pecah premis, samun

Banduan
CHA Hoong Fong menunjukkan barangan yang dirampas pihaknya daripada kumpulan penjenayah dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang bekas banduan lelaki dikesan masih tidak serik melakukan jenayah biarpun baru selesai menjalani hukuman penjara mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) awal tahun ini.

Selain memiliki 55 rekod jenayah lampau, suspek berusia 40-an itu turut merekrut empat rakannya untuk melakukan pecah premis, curi kenderaan dan samun.

Kegiatan haram selama tiga bulan itu bagaimanapun tumpas apabila lima lelaki berusia 37 hingga 44 tahun berkenaan dicekup polis di sekitar daerah ini, 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu dilakukan susulan kes pecah sebuah kedai perkakasan di Kampung Jawa pada 26 Mac lalu.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu menunjukkan sekumpulan lelaki melarikan pelbagai jenis barangan dianggarkan bernilai RM20,000. Hasil maklumat dan risikan kemudian membawa kepada serbuan di beberapa rumah di Jalan Kapar, Taman Sentosa dan Taman Selatan.

“Selain tangkapan lima suspek, polis merampas tiga kereta dan 52 barangan yang dicuri daripada kedai perkakasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.

Jelas Hoong Fong, siasatan mendapati kumpulan itu bergiat aktif pada awal pagi dengan menyasarkan premis perniagaan yang tidak beroperasi.

“Semakan turut mendapati dua kereta jenis Proton Waja dan Wira merupakan kenderaan curi manakala Perodua Axia digunakan suspek untuk melakukan jenayah. Kesemua suspek memiliki sekurang-kurangnya 11 rekod lampau termasuk ketua mereka yang mempunyai 55 kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, tangkapan itu membawa kepada kejayaan pihaknya menyelesaikan 14 kes termasuk di Klang Utara dan Shah Alam. 

“Hasil soal siasat mendapati lima suspek terlibat dalam kes pecah masuk kilang, kedai, curi kereta, curi motosikal dan samun.  Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan termasuk mengesan saki baki kumpulan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.