KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung dakwaan usul yang dikemukakan ditolak.
Beliau juga mengingatkan para wakil rakyat agar tidak membuat pihak lain melabel Dewan Rakyat sebagai ‘zoo’ dengan menjaga tertib.
“Yang Berhormat dalam Dewan ini, semua sekali, benda ini (peraturan mesyuarat) sepatutnya jadi makan minum kita dalam Dewan.
“Tak perlu banyak, kuasai (peraturan) 35, 36, 37, 41, 42, 43, 44, 98, 99A. Yang Berhormat yang baharu, itulah yang perlu dikuasai.
“Tapi kadangkala manusia ni, benda dah tahu, kata tak tahu. Saya faham, ini politik, ditayangkan langsung, jadi berhadlah. Jangan di luar sana mengenali Dewan ini sebagai zoo. Itu menyedihkan,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal tidak berpuas hati dengan jawapan balas daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan meminta cadangan saluran lain untuk beliau mendapat penjelasan berhubung isu tersebut.
“Soalan saya pagi tadi kepada Perdana Menteri juga ditolak. Saya nak minta petua, apakah saluran lain yang boleh saya bawa untuk Kementerian Luar Negeri menjelaskan kepada kami apa yang berlaku di Arab Saudi pada minggu lalu?” soalnya.
Wan Ahmad Fayhsal menjadi ahli Parlimen yang lantang membangkitkan persoalan berkenaan lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.
Beliau menyifatkan lawatan tersebut gagal dan menjatuhkan maruah negara kerana perdana menteri ‘gagal’ mengadakan pertemuan empat mata bersama pimpinan negara itu. – UTUSAN