Tiada tindakan sepanjang tempoh tangguh bayar 6 bulan - PTPTN

Tiada tindakan sepanjang tempoh tangguh bayar 6 bulan – PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan dan perundangan terhadap peminjam sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik dikuatkuasakan.

Ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan bayaran balik untuk tempoh enam bulan dan diskaun bayaran balik pinjaman selama tiga bulan mulai semalam.

Dalam pelaksanaan penangguhan bayaran balik, semua peminjam yang mempunyai pendapatan bulanan RM1,800 (gaji kasar) ke bawah layak memohon melalui portal rasmi PTPTN.

Namun, kata PTPTN, pengecualian dibuat terhadap peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.

“Peminjam yang diluluskan penangguhan, akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuat kuasa.

“Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut PTPTN, peminjam hanya perlu melengkapkan maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini dan membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.

PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui emel yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.

Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN pula dibahagikan kepada empat kategori iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

Dua lagi kategori adalah diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik dan diskaun lima  peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

“Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini,” katanya.

Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang disediakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya