Sinar emas Malaysia di Olimpik makin terang

Sinar emas Malaysia di Olimpik makin terang

Hannah Yeoh (tengah) pada sidang media Road To Gold di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.-UTUSAN/HAKIMI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sinar emas pertama Malaysia di pentas Olimpik semakin ‘terang’ selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif membentuk pasukan jawatankuasa ‘Road to Gold’ bagi menyelaras persediaan atlet ke temasya Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria selain turut dianggotai oleh gabungan pentadbir dan bekas atlet yang berpengalaman di pentas dunia.

Hannah berkata, jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara.

“Dengan mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris pada tahun hadapan, Jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

“Jawatankuasa Road to Gold ini akan memperkasakan Program Podium sedia yang diketuai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat Kementerian.

“Ini akan mengukuhkan lagi Jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat negara. Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Jawatankuasa berkenaan di anggotai oleh Ketua Kontinjen Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan timbalannya, Datuk Nicol Ann David, Ketua Setiausaha KBS, Dr. K. Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Mohd. Ramli.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia), Datuk Lee Chong Wei (bekas atlet badminton) , Datuk Mirnawan Nawawi (bekas atlet hoki), Stuart Ramalingam (penyelaras projek) dan Michelle Chai (pembantu penyelaras projek).

“Semua pelantikan adalah atas dasar sukarela dan tanpa menerima apa-apa elaun, sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara secara kolektif. Di samping itu, Jawatankuasa ini juga akan secara aktif membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasional utama ini.

“Peranan ‘Chef de Mission’ dan timbalannya akan mencerminkan asas Jawatankuasa ini yang terdiri daripada pentadbir berkepakaran dan atlet bertaraf dunia. Tugas segera Jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.