Nik Muhammad terlantar, lumpuh selepas kejadian lemas - Utusan Malaysia

Nik Muhammad terlantar, lumpuh selepas kejadian lemas

ASMAH Pik menjaga Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah yang terlantar lumpuh di Kampung Machang, Ajil, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NIK NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang remaja hanya sekadar mampu kerdipkan mata dan berada dalam keadaan terlantar selepas tragedi lemas di sebuah tali air, kira-kira 10 tahun lalu.

Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah, 13, dari Kampung Machang, Ajil di sini, tak ubah seperti anak kecil yang perlu memakai lampin dan bergantung kepada susu khas.

Menurut ibunya, Asmah Pik, 37, tragedi tersebut yang berlaku di Kampung Alor Keladi, Jerteh menyebabkan kehidupan anak kedua daripada tiga beradik yang dilahirkan normal sebelum ini, akhirnya lumpuh sepanjang hayat.

“Ketika kejadian, dia baru berusia tiga tahun. Pilu hati sewaktu melihat keadaannya kebiruan akibat lemas ketika ditemukan dalam tali air sedalam 1.5 meter berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah Asmah, anaknya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama sebulan dan doktor sahkan lumpuh seumur hidup akibat kekurangan oksigen dalam otak.

Katanya, menjadi rutinnya mendukung anak istimewanya yang kini seberat 18 kilogram ke bilik mandi sekiranya suami, Nik Abdullah Mahmood, 46, yang bekerja sebagai petani tiada di rumah.

Menurutnya, selagi hayat dikandung badan dia akan menjaga anak syurganya itu sebaik mungkin.

Tambahnya, pendapatan suami tidak menentu dan kos mem­beli susu khas, lampin pa­kai buang serta keperluan anaknya itu mencecah RM1,000 sebulan.

“Bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan sebagai penjaga dan RM150 untuk Nik Muhammad Faizul Izwan. Syukur, dapatlah ri­ngankan beban.

“Setiap bulan, dia memerlukan bekalan susu kira-kira lima tin. Keutamaan diberikan untuk keperluan anak terlebih dahulu, perbelanjaan digunakan secara berhemah.

“Ada ketika alami kekangan kewangan, tambahan pula dua lagi anak yang masing-masing berusia 16 dan 8 tahun masih bersekolah,” jelasnya.

Mereka yang ingin hulurkan sumbangan boleh hubunginya di talian 013 9656701 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11500-29-00027946-3 atas nama bersama Nik Abdullah Mahmood dan Nik Muhammad Faizul Izwan Nik Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN