Emas di Australia jadi tonik terbaik buat Hafiz Jantan

Emas di Australia jadi tonik terbaik buat Hafiz Jantan

KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mengetuai kemenangan skuad pelari 100 meter Malaysia dengan meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Siri Queensland Shield: Darren Thrupp Shield di Australia, kelmarin.

Hafiz menduduki tempat pertama dengan catatan masa larian 10.34 saat (s), diikuti Muhammad Haiqal Hanafi (10.41s) yang meraih pingat perak dan Jonathan Nyepa (10.43s) di kedudukan ketiga.

Pelari berusia 24 tahun itu, berkata dia sebenarnya masih keletihan kerana menempuhi perjalanan jauh ke sana dan tidak menyangka dapat meraih pingat dalam kejohanan tersebut.

Hafiz yang terpilih sekali lagi mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja, turut menyatakan bahawa catatan masa yang dihasilkannya itu masih mampu diperbaiki dalam masa kurang dua bulan dari sekarang menjelang temasya dwitahunan, Mei depan.

“Saya tak sangka dapat buat catatan masa itu sebab kita tahu perjalanan agak jauh, dengan ‘jet lag’ lagi, jadi saya anggap itu rezeki. Alhamdulillah.

“Bagi saya, (catatan masa) itu boleh diperbaiki lagi untuk ke Kemboja nanti sebab ini pun baru kejohanan antarabangsa pertama saya tahun ini.

“Banyak lagi kejohanan yang Malaysia akan hantar kami bertanding sebelum ke sana. Jadi untuk saya, masih ada masa lagi untuk bentuk catatan masa yang lebih bagus, insyaAllah.

“Kemungkinan pada 24 April nanti saya akan sertai Terbuka Singapura pula dan seminggu sebelum Sukan SEA pun ada kejohanan Perak All Comers. Yang itu saya tak pasti lagi sama ada jurulatih akan hantar saya bermain atau tidak. Mungkin saya akan pergi, tengok pada keadaan nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas mengenai kemampuannya untuk mengulang sejarah sebagai Raja Asia Tenggara, Hafiz berkata dia yakin dengan kebolehannya untuk membuat catatan masa terbaik pada Sukan SEA akan datang, namun semuanya bergantung kepada rezeki.

“Bagi saya tak mustahil sebab itu semua rezeki kan. Macam saya semalam tiba-tiba dapat buat keputusan yang tak dijangka, jadi untuk perlawanan selepas ini saya rasa mungkin boleh ubah lebih baik,” jelasnya.

Atlet asal Melaka itu yang terkenal dengan gelaran ‘The Speedy Jantan’ pernah menghasilkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (Sukma 2016) dengan catatan masa 10.18s sebelum memungut pingat emas setahun selepas itu dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.