PETALING JAYA: Keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan Naib Presiden UMNO dan tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat setelah mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO hari ini.
Namun Ismail Sabri secara peribadi melihat bahawa UMNO perlu memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin baharu yang kompeten dengan idea yang lebih segar untuk mengisi saf kepemimpinan tertinggi parti itu.
Justeru, beliau tetap dengan pendirian bahawa semua jawatan dalam parti perlu dipertanding selaras dengan perlembagaan dan idealisme UMNO.
“Tindakan menyekat pemilihan jawatan tertinggi dalam parti memperlihat UMNO sebagai tidak demokratik dan menjauhkan parti daripada sokongan rakyat khususnya golongan muda.
“Dalam usaha menjadikan UMNO sebagai parti yang terus releven, parti keramat ini memerlukan idea-idea baharu yang progresif untuk menarik kembali sokongan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas mengenai hasrat untuk tidak mempertahankan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Dalam pada itu, Ismail menafikan beliau akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan menyifatkannya adalah spekulasi ‘nakal’ serta tidak benar.
Beliau memberitahu, Setiausaha UMNO Bahagian Bera telah memaklumkan bahawa beliau adalah calon tunggal untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.
“Tiada pencalonan lain untuk jawatan tersebut diterima sehingga tamat tempoh pencalonan yang ditetapkan pada pukul 5 petang, 26 Februari lalu. Bagaimanapun saya menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia mengenai pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera,” katanya. – UTUSAN











