Sukan perlu 'bersih' dan diurus dengan cekap - Hannah

Sukan perlu ‘bersih’ dan diurus dengan cekap – Hannah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan dan kemajuan dalam bidang sukan hanya boleh direalisasikan sekiranya pengurusan serta pentadbiran yang cekap tanpa dicemari dengan sebarang isu negatif.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jika pihak berkaitan gagal untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran berjalan lancar, ia akan memberi imej buruk sekali gus menjejaskan pencapaian atlet atau pemain dalam sukan tertentu.

Beliau berkata, contoh yang boleh diambil adalah kejayaan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang baharu dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa.

“Semestinya pengurusan dan pentadbiran sukan sangat penting kerana kalau tiada pengurusan dan pentadbiran yang baik, dana-dana yang dikutip, polisi dan hala tuju untuk sukan itu tidak boleh maju ke depan.

“Jadi saya berharap lebih banyak pengurusan mereka boleh bertanding secara sihat bukan saja di tanah air tetapi seperti Datuk Hamidin yang pergi ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran sempena Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah turut melihat bola sepak mula mendapat tempat di hati peminat sukan tanah air apabila ramai memberikan sokongan ketika pasukan negara beraksi.

“Kita akan pergiatkan lagi program skrin besar KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk pastikan lebih ramai lagi dapat bersama mengikuti pertandingan bola sepak,” katanya.

Hamidin yang berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal lepas, menang perebutan tujuh penjuru untuk lima kerusi (lelaki) Ahli Majlis Fifa bagi Asia untuk tempoh 2023-2027 pada Kongres AFC ke-33 di Manama, Bahrain awal bulan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya