Remaja rakam ucap 'selamat tinggal' bawah runtuhan

Remaja rakam video ucap ‘selamat tinggal’ bawah runtuhan

Taha Erdem, 17, (tengah) bersama ibunya, Zeliha Erdem dan bapa, Ali Erdem bergambar di hadapan bangunan yang musnah di Adıyaman, Jumaat lalu. -AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADIYAMAN: Tindakan remaja berusia 17 tahun merakamkan ucapan selamat tinggal kepada orang tersayang ketika terperangkap di bawah runtuhan rumahnya menyentuh hati warganet.

Lapor AP, Taha Erdem dan keluarganya dikatakan sedang tidur apabila gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud melanda kampung halaman mereka di Adıyaman pada awal pagi 6 Februari lalu.

Taha dikejutkan oleh gegaran bangunan pangsapuri empat tingkat di kawasan kejiranan di tengah bandar Anatolia.

Dalam masa 10 saat, Taha, ibu, bapa dan adik lelaki serta adik perempuannya menggelongsor ke bawah bersama runtuhan bangunan itu.

Dia berseorangan ketika itu dan mengeluarkan telefon bimbitnya, mula merakam ucapan selamat tinggal terakhir selain berharap ia akan ditemukan selepas kematiannya.

“Saya rasa ini adalah video terakhir yang akan saya rakam untuk anda,” katanya dari ruang sempit, telefonnya bergegar di tangannya apabila gegaran menggegarkan bangunan yang runtuh itu.

Menunjukkan ketabahan dan keberanian yang luar biasa, dia mengucapkan kata-kata terakhirnya, menyenaraikan kecederaannya dan bercakap tentang penyesalannya dan perkara yang dia harap dapat dilakukan jika dia muncul dalam keadaan hidup.

Semasa video itu dirakam, jeritan orang lain yang terperangkap boleh didengari.

“Kami masih gementar. Kematian, kawan-kawanku, datang pada masa yang tidak disangka-sangka.

“Banyak perkara yang saya kesalkan. Semoga Allah mengampuni segala dosaku. Jika saya keluar dari sini hidup-hidup hari ini, banyak perkara yang saya ingin lakukan. Kami masih gementar, ya. Tangan saya tidak menggigil, cuma gempa bumi,” ” kata Taha, sebelum membaca doa dalam bahasa Arab.

Remaja itu terus menceritakan bahawa dia percaya keluarganya sudah mati bersama-sama dengan ramai orang lain di bandar itu, dan dia akan menyertai mereka tidak lama lagi.

Tetapi Taha ditakdirkan untuk menjadi antara yang terawal diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan.

Dia ditarik dari runtuhan dua jam kemudian oleh jiran dan dibawa ke rumah ibu saudaranya.

Sepuluh jam selepas gempa itu, ibu bapa dan adik-beradiknya turut diselamatkan oleh penduduk tempatan yang menggali runtuhan bangunan itu dengan tangan kosong dan apa sahaja peralatan yang mereka temukan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya