Projek ECRL di Selangor tidak ceroboh hutan simpan - Utusan Malaysia

Projek ECRL di Selangor tidak ceroboh hutan simpan

PROJEK ECRL tidak menceroboh kawasan hutan simpan di Selangor. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menegaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor tidak melibatkan penyahwartaan hutan simpan termasuk kawasan-kawasan di Taman Negeri Selangor.

MRL, pemilik projek ECRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) sebagai kontraktor utama sentiasa komited dalam memenuhi semua keperluan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri untuk memelihara alam sekitar dan menjaga kepentingan orang awam.

“Bagi projek yang sedang berjalan di Selangor, kami sedang bekerja rapat dengan pihak-pihak berkuasa dan agensi-agensi kerajaan di semua peringkat termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan.

“Kerja-kerja pembinaan ECRL untuk Seksyen C2 ECRL (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) yang secara keseluruhannya terletak di Selangor dijalankan dengan teliti di bawah rundingan bersama komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang berkenaan serta mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan.

Kenyataan itu bagi menjawab kebimbangan yang disuarakan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai pembukaan tanah untuk projek tersebut yang didakwa menceroboh hutan simpan di negeri itu.

Sebagai rekod, kelulusan Skim Kereta Api ECRL bagi Seksyen C2 telah diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada MRL pada 14 Januari 2022 selepas Pemeriksaan Awam selama tiga bulan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), satu laporan wajib di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah diserah kepada JAS pada 30 November 2021 dan mendapat kelulusan pada 20 Disember 2021.

Pada 14 September 2022, MRL telah mendapat kelulusan dari Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan pembinaan projek ECRL bagi jajaran rel Seksyen C2 di Selangor.

MRL berkata, bagi pembukaan tanah untuk Projek ECRL di Selangor untuk memudahkan kerja-kerja awal pembinaan ECRL, MRL telah memperoleh kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk permit izin lalu supaya kontraktor-kontraktor dapat memasuki kawasan hutan simpan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti berlesen yang berkaitan ECRL.

“Bagi memelihara alam sekitar, Projek ECRL telah mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP) yang masing-masing telah dikeluarkan oleh JAS dan Jabatan Pengairan dan Salinan (DID).

“Pihak MRL dan CCC-ECRL proaktif mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus dengan pihak berkuasa negeri Selangor dan semua pihak berkepentingan projek ECRL termasuk penduduk yang tinggal berhampiran tapak kerja ECRL. 

“Ini adalah untuk memastikan suara dari pihak-pihak yang terjejas dan pendapat-pendapat orang awam dipertimbangkan sepenuhnya bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan impak sosial,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya