Kerajaan perlu pantau kenaikan harga bahan binaan - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu pantau kenaikan harga bahan binaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) meminta kerajaan menangani peningkatan harga bahan mentah di sektor itu dengan melaksanakan pemantauan berterusan serta penguatkuasaan yang perlu bagi memastikan tiada pencatutan dalam keseluruhan rantaian bekalan industri. 

Presidennya, Tukiman Radion berkata, sekarang ini harga bahan binaan meningkat setiap dua minggu.

“Kami tidak pasti sekarang ini siapa yang menaikkan harga bahan binaan itu, sama ada pengilang, pembekal atau peruncit tetapi kebiasaannya orang tengah yang menaikkan harga. 

“Justeru, kami berharap kerajaan akan melakukan memantau harga bahan binaan supaya ia tidak dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa sebab oleh sesetengah pihak. 

“Jika mereka mahu naikkan harga, perlu dapatkan kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu. Kalau perkara ini dibiarkan, ia akan berlarutan sehingga menyebabkan kerugian kepada industri dan kontraktor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan indeks harga seunit bagi beberapa bahan seperti simen, besi dan bahan bumbung untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak terus menunjukkan peningkatan pada Januari 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen meningkat 2.6 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022, peningkatan tiga bulan berturut-turut.

Ujarnya, peningkatan harga bahan mentah dan arang batu serta kos penghantaran yang lebih tinggi adalah penyumbang utama terhadap kenaikan harga dalam pasaran simen di Malaysia.

“Indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan 1.0 peratus berbanding Disember 2022, seiring dengan peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

“Menurut Trading Economics, harga besi dijangka akan meningkat. Ini berikutan pemulihan aktiviti kilang China pada Januari selepas penguncupan tiga bulan berturut-turut seperti yang dilaporkan oleh Indeks Pengurus Pembelian Biro Statistik Kebangsaan China.

“Selain itu, penamatan dasar sifar Covid-19 di China dan pelbagai inisiatif untuk merangsang aktiviti pembinaan dijangka memperkukuh sektor hartanah dan permintaan perumahan. 

“Jangkaan itu seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan daripada bijih besi serta besi,” katanya.

Persatuan Keluli Dunia melalui Tinjauan Jangka Pendek (SRO) bagi 2022 dan 2023 menyatakan bahawa permintaan besi pada tahun ini dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

Tambahan pula, Tinjauan Keluli Global 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 bagi pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu juga menyatakan bahawa antara faktor yang mempengaruhi penawaran dan permintaan jangka pendek dalam pasaran keluli termasuk evolusi pasaran hartanah China dan pelonggaran penutupan di negara itu.

Isu geopolitik seperti tekanan perdagangan berterusan akibat perang di Ukraine dan sekatan terhadap Rusia, dan ketegangan perdagangan AS-China mungkin akan turut memberi kesan kepada pasaran keluli.

Perbandingan tahun ke tahun indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 11.4 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Indeks harga bagi seunit bagi besi dan simen masing-masing meningkat 1.4 peratus dan 9.3 peratus bagi Januari 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mohd. Uzir menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ adalah RM3,599.37 bagi setiap tan metrik, meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Purata harga simen mencatatkan peningkatan 3.4 peratus iaitu RM21.66 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.95 bagi setiap 50 kilogram pada Disember 2022.

“Manakala, purata harga pasir kekal tidak berubah iaitu RM36.32 satu tan metrik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya