PETALING JAYA: Edisi ke-33 Piala FA bakal menampilkan persaingan sengit seawal pusingan pembukaan apabila empat pasukan Liga Super akan berentap sesama sendiri.
Juara tiga kali, Sri Pahang akan menentang skuad bimbingan Lim Teong Kim, Perak FC, yang merupakan juara edisi sulung pada 1990 dan 2004.
Gergasi utara yang juga juara lima kali, Kedah Darul Aman (KDA) akan diuji pasukan jiran, Penang FC untuk memburu tiket ke pusingan kedua.
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM FC yang tidak perlu mengharungi pusingan pertama akan berentap sesama sendiri pada pusingan kedua.
Selangor FC yang berkongsi rekod lima kejuaraan bersama Kedah akan menunggu pemenang di antara Perak FC dan Sri Pahang, manakala Kelantan FC berdepan Manjung City FC atau Sains FC. – UTUSAN ONLINE