850,000 remaja sertai program PPK DI Pusat Remaja KafeTEEN

850,000 remaja sertai program PPK DI Pusat Remaja KafeTEEN

NANCY Shukri menyempurnakan simbolik Penyerahan Trak KafeTEEN Outreach di Kompleks Kejiranan Putrajaya Presint 16, Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir 850,000 remaja mengambil bahagian menerusi program Pendidikan dan Pembangunaan Kemahiran (PPK) yang dilaksanakan di Pusat Remaja KafeTEEN kelolaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program berkenaan dijalankan di 18 buah Pusat Remaja KafeTEEN di seluruh negara membabitkan masing-masing lapan premis di LPPKN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta dua di Pusat Transit KafeTEEN.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 38,000 remaja menerima manfaat melalui perkhidmatan kesihatan reproduktif, manakala kira-kira 20,000 remaja lagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling sosial di Pusat Remaja KafeTEEN.

“Sewaktu pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, LPPKN mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Trak KafeTEEN iaitu perkhidmatan bergerak KafeTEEN yang menumpukan perkhidmatan di kawasan-kawasan bersesuaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Trak KafeTEEN Outreach di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini hari ini.

Pusat Remaja KafeTEEN merupakan pusat aktiviti yang diwujudkan sejak tahun 2006 khusus untuk para remaja melakukan aktiviti-aktiviti sihat, bermanfaat dan interaktif bagi membantu mengisi masa lapang serta meningkatkan pengetahuan dan jati diri mereka dalam pelbagai aspek.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, usaha mempromosikan KafeTEEN juga akan terus dipergiat melalui aplikasi myKafeTEEN bagi memperluaskan capaian maklumat dan pendidikan kesihatan serta sosial kepada golongan remaja.

Jelasnya, sehingga kini seramai 10,000 pengguna menerima manfaat daripada pengisian aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar masing-masing.

“Saya mahu selepas ini usaha ditumpukan untuk memastikan perkhidmatan ini sampai dan dimanfaatkan remaja yang benar-benar memerlukan, terutamanya mereka yang berasal dari keluarga yang berisiko atau mungkin mempunyai masalah-masalah tertentu dan memerlukan bantuan serta sokongan dalam bentuk perkhidmatan yang disediakan di KafeTEEN.

“Saya juga mahu supaya ibu bapa turut memainkan peranan dengan ambil tahu mengenai aktiviti harian anak-anak serta memberikan galakan dan sokongan supaya mereka menyertai aktiviti di KafeTEEN atau seumpamanya,” ujarnya.

Kata Nancy, bersempena dengan penyerahan Trak KafeTEEN Outreach, LPPKN turut memperluaskan kempen advokasi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial bagi memupuk daya tahan diri dan meningkatkan jati diri remaja termasuk dalam menjaga batas pergaulan.

Tambahnya, kempen ‘Jangan Malu Ambil Tahu, Jangan Malu Bagitahu’ menggunakan #AmbilTahuBagiTahu bertujuan mendidik para remaja mengenai ilmu dan kefahaman tentang hubungan seks sebelum nikah, kesihatan reproduktif dan gejala sosial yang menyelubungi golongan remaja.

“Sasaran capaian bagi program Trak KafeTEEN Outrreach untuk tahun ini adalah seramai 6,000 remaja di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya