Wellspire mulakan dagangan sulung di Pasaran Ace pada 33 sen sesaham - Utusan Malaysia

Wellspire mulakan dagangan sulung di Pasaran Ace pada 33 sen sesaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wellspire Holdings Berhad (Wellspire)  memulakan dagangan sulung di Pasaran Ace Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities)  dengan positif apabila dibuka pada 33 sen sesaham.

Syarikat pemegangan pelaburan yang terlibat dalam pengedaran pembungkusan makanan pengguna di Thailand tersebut mencatatkan premium lebih 43.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) 23 sen sesaham, manakala 12.58 juta saham bertukar tangan dalam tempoh sejam selepas dagangan dibuka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mo Guopiao berkata, Wellspire adalah syarikat yang secara dominan berpangkalan di Thailand yang pertama disenaraikan di Bursa Securities.

Katanya, penyenaraian tersebut menandakan kerja keras berbulan-bulan yang dilaburkan oleh pasukan pengurusannya, serta bimbingan dan sokongan pasukan penasihat serta respon dan perhatian daripada pihak berkuasa yang berkaitan ke arah menjayakan IPO ini.

“IPO kami telah diterima dengan baik, dengan saham IPO yang diperuntukkan untuk penempatan persendirian dipenuhi, manakala bahagian runcit IPO sebanyak 36.0 juta saham baharu yang dikhaskan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia mendaftarkan jumlah permintaan kira-kira RM101.35 juta atau kadar lebihan langganan sebanyak 11.24 kali.

“Kami sememangnya berasa rendah diri dan berterima kasih atas sokongan dan keyakinan yang diberikan oleh para pelabur kepada kami. 

“Pengambilan saham IPO kami yang menggalakkan akan menjadi faktor pendorong yang besar bagi kami untuk terus memacu peringkat pertumbuhan kami yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, melalui IPO tersebut, Wellspire berjaya mengumpul hasil kasar sebanyak RM28.66 juta melalui terbitan awamnya sebanyak 124.60 juta saham baharu, yang mana kira-kira 55.8 peratus daripada hasil akan digunakan untuk pemerolehan atau pembinaan gudang dan kemudahan operasi di Thailand. 

Menurutnya, sebanyak 20.8 peratus lagi daripada hasil akan digunakan untuk modal kerja dan baki 23.4 peratus akan digunakan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

“Perjalanan kumpulan kami sepanjang tahun telah disokong oleh pelaksanaan dan pengurusan kami yang kukuh yang telah berjaya memperoleh kepercayaan pelanggan utama kami, termasuk CP All, Big C, Ek-Chai dan Siam Makro.

“Ini telah menghasilkan keupayaan kami untuk berjaya mengekalkan perniagaan kami sepanjang tahun-tahun ini, yang dibuktikan oleh prestasi kewangan kumpulan kami.

“Walaupun semua hasil kumpulan kami diperolehi dari Thailand, kami telah memilih untuk menyenaraikan Wellspire di Malaysia dan permintaan yang menggalakkan untuk IPO kami jelas mengesahkan keputusan kami,” jelasnya.

TA Securities Holdings Berhad ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN