UNSC tegaskan status quo Masjid Al-Aqsa perlu dipertahan - Utusan Malaysia

UNSC tegaskan status quo Masjid Al-Aqsa perlu dipertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyuarakan kebimbangan dan menekankan keperluan untuk mengekalkan status quo di perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis, beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir membuat lawatan ke kawasan itu.

Status quo yang telah berlangsung selama beberapa dekad hanya membenarkan umat Islam beribadat di perkarangan masjid itu yang juga dikenali sebagai ‘Temple Mount’ oleh penganut Yahudi.

Seorang pegawai Israel berkata, Ben-Gvir mematuhi peraturan yang membenarkan orang bukan Islam melawat tetapi tidak bersembahyang di kawasan berkenaan.

Wakil Palestin ke PBB, Riyad Mansour mendesak UNSC mengambil tindakan tetapi langkah itu tidak mungkin berlaku memandangkan Amerika Syarikat (AS) secara tradisinya melindungi Israel.

AS, Russia, China, Perancis dan Britain mempunyai kuasa veto dalam majlis tersebut.

“Apakah garis merah yang perlu dilanggar Israel untuk membuatkan UNSC mengambil tindakan,” tegas Riyad memberitahu 15 anggota UNSC sambil menuduh Israel menunjukkan penghinaan mutlak.

Pegawai Kanan Hal Ehwal Politik PBB, Khaled Khiari memberitahu majlis itu, lawatan berkenaan merupakan yang pertama dilakukan oleh menteri Kabinet Israel sejak 2017.

“Walaupun lawatan itu tidak disertai atau diikuti dengan keganasan, ia dilihat sebagai sangat menghasut memandangkan Ben-Gvir sering memperjuangkan perubahan kepada status quo,” katanya.

Ben-Gvir pernah berkempen supaya kawasan merangkumi Masjid Al-Aqsa dan ‘Temple Mount’ dibuka kepada umum tanpa sebarang sekatan untuk beribadat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa semua pihak mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di dalam dan sekitar tapak suci itu.

Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan, memaklumkan sebelum pertemuan itu bahawa orang Yahudi dibenarkan melawat tapak paling suci dalam agama Yahudi.

“Ia adalah hak setiap Yahudi dan Israel tidak menjejaskan status quo serta tidak bercadang untuk berbuat demikian,” katanya.

Timbalan Duta Besar AS, Robert Wood, berkata AS kekal komited kepada penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik antara Israel dan Palestin.

“Bagaimanapun, AS bimbang sebarang tindakan sebelah pihak akan memburukkan lagi ketegangan atau menjejaskan kemajuan rumusan penyelesaian dua negara ini,” katanya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.