Terima kasih Liu Ying, jasamu dikenang

Terima kasih Liu Ying, jasamu dikenang

Liu Ying sebak ketika Majlis Persaraannya dari dunia badminton, pada Badminton Terbuka Malaysia 2023, di Stadium Axiata.- MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Air mata Goh Liu Ying yang cuba dibendung, akhirnya tumpah apabila bapanya, Goh Chak Whee yang menjadi penyokong No. 1 kepada perjalanan kariernya selama ini menyalahkan diri sendiri setiap kali melihat si anak menderita gara-gara kerap ditimpa kecederaan.

Dihadapan media, pemenang pingat perak beregu campuran berpasangan dengan Chan Peng Soon pada Sukan Olimpik 2016 itu terlalu sebak sehingga dia terdiam seketika sewaktu berkongsi pengalaman perjalanan kariernya yang penuh warna-warni.

“Tanpa bapa, saya tidak akan berada di sini, saya ingat lagi dia ada cakap semasa dia hantar saya bermain badminton, bapa lihat saya cedera sehingga dia keliru keputusan yang dibuatnya selama ini betul atau tidak.

“Sebagai bapa, saya dapat lihat hatinya sakit menyaksikan saya kerap tercedera, tetapi sekarang dia tidak perlu risau lagi,” kata Liu Ying mengimbas kembali perjalanan kariernya sebagai pemain badminton selama 18 tahun.

Semalam di Axiata Arena, persaraan pemain berusia 34 tahun itu diraikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya, Datuk Kenny Goh, bekas pemain seperti Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong serta rakan seperjuangan yang terdiri daripada Cheah Liek Hou, Chan Peng Soon dan Zhang Bei Wen dari Amerika Syarikat.

Chak Whee ketika ditanya pemberita mengenai perasaannya itu berkata, menjadi impiannya untuk melihat puteri kesayangannya itu bergelar pemain kebangsaan.

Bagaimanapun, jelasnya, masalah kecederaan yang kerap melanda Liu Ying telah menjadi bebanan dihatinya setiap kali melihat anaknya itu bermain dalam kesakitan.

“Saya selalu berdoa, jangan sampai cedera, tetapi apabila saya nampak dia pegang sana, pegang sini, saya mula susah hati kerana saya tahu Liu Ying tidak akan berhenti, dia mesti habiskan perlawanan,” ujarnya yang menyifatkan Liu Ying sebagai anak yang manja.

Chak Whee yang berusia 66 tahun dan berasal dari Melaka itu memberitahu, Liu Ying telah merealisasikan impiannya yang tidak kesampaian untuk bergelar pemain badminton.

“Keluarga saya tidak mempunyai kemampuan kewangan, dulu pun saya main badminton hanya pakai raket kayu, jadi, apabila tiba giliran Liu Ying, saya mahu dia berjaya sehingga menjadi pemain kebangsaan, tetapi tak sangka pula dia berjaya sehingga ke Sukan Olimpik,” katanya.

Tambahnya, detik paling membanggakan sepanjang karier Liu Ying ialah sewaktu menyaksikan anaknya itu berdiri di atas podium pada Sukan Olimpik 2016.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya