Russia dakwa tawan Soledar

Russia dakwa tawan Soledar

YEVGENY Prigozhin (tengah) memaparkan gambar dirinya dikelilingi unit tentera upahan Wagner yang didakwa di kawasan perlombongan garam Soledar, Ukraine. -Telegram
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Selepas menguasai stesen jana kuasa elektrik, Russia kini dikatakan melebarkan sayap wilayah taklukannya apabila berjaya menguasai bandar perlombongan garam di Ukraine iaitu Soledar.

Soledar menjadi tumpuan Russia kerana mereka melihatnya sebagai sebuah bandar strategik yang lebih besar berdekatan Bakhmut dan wilayah timur Donbas di Ukraine.

Ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Russia, Yevgeny Prigozhin berkata, pejuangnya sudah menguasai Soledar di timur Ukraine selepas beberapa siri pertempuran sengit pada minggu ini.

Katanya, Soledar diserang secara ‘eksklusif’ selama beberapa hari oleh unit Wagner.

Pihaknya mendakwa turut me­lakukan pertempuran berte­rusan di bandar itu sehingga dapat menguasainya.

PAPAR GAMBAR SEBAGAI BUKTI

Prigozhin juga memaparkan gambar dirinya dalam pakaian tentera yang dikelilingi oleh pejuang Wagner, tetapi tidak menyatakan di mana gambar itu diambil.

Agensi berita negara Rusia, RIA Novosti juga memaparkan satu lagi gambar Prigozhin bersama pejuang bersenjata yang mengatakan ia diambil di lombong garam Soledar.

“Unit Wagner menguasai di seluruh wilayah Soledar,” kata Prigozhin menerusi media sosial semalam.

Tahap kawalan Wagner ke atas bandar itu bagaimanapun tidak jelas dan AFP tidak dapat mengesahkan tuntutan itu.

Ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin itu berkata, bilangan tawanan hasil daripada pertempuran itu juga akan diumumkan.

UKRAINE NAFI SOLEDAR DITAWAN

Bagaimanapun, kerajaan Ukraine berkata, tenteranya masih bertahan di Soledar, sebuah bandar perlombongan garam di wilayah Donetsk sekitar 15 kilometer dari Bakhmut, yang cuba dirampas oleh Rusia selama berbulan-bulan lamanya.

Malah, kedua-dua pihak melaporkan, pertempuran untuk Soledar adalah berdarah dan sangat sengit.

Pengaruh Prigozhin dan Wagner di Russia meningkat dengan ketara sejak Putin menghantar tentera ke Ukraine pada Februari tahun lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula tidak menyebut mengenai penguasaan Soledar oleh Russia dalam ucapan video tetapnya pada petang Selasa lalu.

Namun, Zelenskyy mengulangi gesaan untuk mendapatkan lebih banyak senjata dari negara-negara barat setelah mendapati Russia kini sedang berusaha untuk memperhebatkan kempen ketenteraannya.

Kementerian Pertahanan Ukraine menerusi Twitter Selasa lalu berkata, walaupun selepas mengalami kerugian besar, Russia dikatakan masih gila untuk merampas Soledar iaitu rumah kepada lombong garam terbesar di Eropah.

Ukraine berkata, sebelum ini, tentera mereka masih memegang kedudukan di Soledar, menahan serangan demi sera­ngan berikutan tentera Russia tetap mahu mencari kemena­ngan pertama mereka di medan perang dalam tempoh beberapa bulan ini.

Merampas Soledar akan menjadi satu keuntungan pa­ling besar Russia sejak Ogos lalu, selepas beberapa siri pengunduran yang memalukan di timur laut dan selatan Ukraine pada separuh kedua 2022.

PERANG DENGAN KOS BESAR

Tetapi, sebarang kemena­ngan di Bakhmut akan menelan kos yang besar dengan tentera dari kedua-dua pihak menerima kekalahan besar dalam beberapa pertempuran paling sengit sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari tahun lalu.

Kyiv mengeluarkan gambar dalam beberapa hari kebelaka­ngan ini menunjukkan apa yang dikatakan ramai askar Russia mati bergelimpangan di padang berlumpur.
Moscow pula berkata, menawan Bakhmut akan menjadi satu langkah penting ke arah mengambil alih sepenuhnya wilayah Donetsk, Ukraine, satu daripada empat wilayah yang menjadi sasaran mereka dua bulan lalu.– AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya