Makanan disteril diperluas ke PPS Sabah

Makanan disteril diperluas ke PPS Sabah

ARMIZAN Mohd. Ali melawat PPS SMK Tandek di daerah Kota Marudu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Langkah alternatif penyediaan makanan menggunakan teknologi retort (kaedah pensterilan) perlu diperluaskan ke Sabah sebagai juadah awal bagi mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau mendapati
pek makanan retort itu sesuai disediakan untuk mangsa banjir yang baru tiba di PPS.

Beliau berkata, pek makanan berkenaan juga turut menjamin kualiti makanan dari aspek kebersihan, keselamatan dan khasiat.

“Saya mendapat maklum balas positif daripada mangsa berhubung pembekalan makanan retort ini. Namun, penyediaan makanan itu masih dalam peringkat rintis dan masih terhad serta belum meliputi semua PPS.

“Saya melihat wujud keperluan agar penggunaan makanan retort ini wajar diperluaskan ke PPS di Sabah. Saya juga difahamkan bekalan makanan ini diperoleh dari Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, beliau mahu makanan retort itu dihasilkan di Sabah sendiri supaya stok makanan itu boleh didapati pada bila-bila masa yang diperlukan tanpa perlu diperoleh daripada Semenanjung Malaysia.

Armizan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk dibincang dan dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, setakat pukul 10 malam tadi, jumlah semasa mangsa adalah seramai 14,012 orang daripada 4,596 keluarga yang berlindung di 73 PPS di 13 daerah iaitu Johor (6 daerah), Pahang (1 daerah), Terengganu (1 daerah) dan Sabah (5 daerah).

Menurutnya, Sabah adalah negeri yang paling teruk terkesan banjir dengan jumlah mangsa banjir seramai 10,312 di 33 PPS melibatkan daerah Paitan, Pitas, Kota Marudu, Telupid dan Tawau.

“Sebagai makluman, Monsun Timur Laut (MTL) musim ini (2022/2023) bermula pada awal bulan November 2022 dan dijangka berlarutan sehingga Mac ini.

“Sepanjang MTL ini, sebanyak 10 siri amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan amaran pada ketika ini adalah siri ke-10,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya