Jururawat di England lancar mogok baharu - Utusan Malaysia

Jururawat di England lancar mogok baharu

JURURAWAT menyertai mogok jalanan pada 20 Disember lalu di London. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jururawat di England melancarkan mogok selama dua hari bermula semalam bagi menuntut kenaikan gaji ketika menghadapi krisis kos sara hidup yang tinggi di negara itu.

Protes itu berlaku ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai gangguan membabitkan ribuan pesakit di pusat kesihatan kendalian kerajaan United Kingdom (UK).

Ia berlaku selepas kumpulan jururawat mengadakan mogok pada bulan lalu, dengan menyertai gelombang tindakan industri oleh pekerja sektor awam yang dilanda krisis kos sara hidup.

Kesatuan jururawat menuduh kerajaan gagal berunding secara serius untuk menambah baik skim gaji mereka untuk tahun semasa.

Mogok terbaharu itu dilihat menambah tekanan ke atas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang dibiayai kerajaan ketika permintaan tertinggi dan tempoh menunggu panjang untuk mendapatkan rawatan.

Menteri Kesihatan, Steve Barclay berkata, mogok diadakan itu sudah tentu akan memberi kesan kepada para pesakit di negara ini. 

Menurut Barclay, kumpulan jururawat yang melancarkan mogok selama dua hari di Wales dan England pada Disember lalu menyebabkan kira-kira 3,000 pembedahan elektrik dan temujanji pesakit terpaksa dibatalkan.  

“Difahamkan, pesakit akan berasa bimbang dengan tindakan mogok dilakukan oleh jururawat,” katanya.

Namun, nasib kakitangan perubatan itu meraih simpati orang ramai ketika harga makanan dan bil tenaga yang melambung tinggi membelenggu pekerja bergaji lebih rendah secara menyeluruh.

Sementara itu, satu tinjauan dijalankan YouGov mendapati sebanyak 63 peratus menyokong mogok dilancarkan oleh jururawat.

Bagaimanapun, jurucakap rasmi Perdana Menteri Rishi Sunak menyifatkan mogok itu sebagai bukan tindakan yang betul.

“Kami menyeru kesatuan sekerja untuk menamatkan mogok dan mengadakan perbincangan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya