Ini jalan saya pilih, mati pun matilah- Lee Zii Jia

Ini jalan saya pilih, mati pun matilah- Lee Zii Jia

LEE ZII JIA. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh No. 2 dunia, Lee Zii Jia sedia menanggung setiap keputusan yang diambilnya setelah pemain badminton perseorangan utama negara itu masih tetap dengan pendiriannya untuk bergerak solo tanpa jurulatih disisi.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, inilah jalan yang dipilihnya dan dia tidak akan sesekali menyesal dengan keputusan yang diambil.

“Apa yang terjadi sama ada baik atau tak baik, saya akan tanggung, ini jalan yang saya pilih, mati pun matilah,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu kepada pemberita.

Zii Jia terkandas di pusingan pertama pada kejohanan berstatus Super 1,000, Terbuka Malaysia setelah tewas kepada pemain No. 7 dunia, Kodai Naraoka dari Jepun 21-13, 17-21, 19-21 di Axiata Arena, kelmarin.

Pencapaian terbaik Zii Jia pada Terbuka Malaysia ialah melangkah sehingga ke pusingan kedua, tahun lalu.

Menurut Zii Jia, dia dapat merasakan perbezaan beraksi tanpa kehadiran jurulatih yang berperanan membimbingnya selama ini.

“Tanpa jurulatih, perasaan itu memang tidak sama, tetapi saya kena terima situasi ini,” ujarnya yang tidak lagi bersama jurulatih, Indra Wijaya.

Pemain itu yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tahun lalu untuk mengejar karier profesional memberitahu, buat masa ini, dia akan kekal bermain tanpa jurulatih dan penampilannya pada Terbuka India, minggu depan akan dibantu oleh rakan sepelatih Liew Daren.

“Buat masa ini, saya akan terus bergerak tanpa jurulatih dan Daren akan membantu saya sebagai rakan sepelatih yang turut berperanan sebagai jurulatih juga,” tegasnya.

Zii Jia berkata, dalam aksi menentang Naraoka, dia telah berusaha memberikan persembahan terbaiknya dan terdapat sedikit peningkatan prestasi pada permainannya itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya